Keganasan di Bangkok bertambah buruk apabila dua orang terbunuh dan 22 cedera dalam letupan bom di Ratchaprasong hari ini. - Foto Bangkok Post
BANGKOK - Keganasan di metropolitan Bangkok bertambah buruk apabila dua orang terbunuh dan 22 cedera hari ini dalam letupan bom di tapak perhimpunan bantahan oleh kumpulan anti kerajaan.
Letupan itu berlaku kira-kira pukul 5 petang di hadapan sebuah gedung beli-belah dekat persimpangan Ratchaprasong, menurut Pusat Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Erawan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (EMS).
Menurut pusat itu, seorang budak lelaki berumur 12 tahun dan seorang wanita berusia 40 tahun disahkan terbunuh dalam letupan itu.
Insiden itu menunjukkan bahawa keganasan di ibu negara Thailand semakin buruk kerana biasanya insiden kumpulan penunjuk perasaan anti kerajaan diserang hanya berlaku pada waktu malam atau awal pagi.
Insiden itu merupakan serangan kedua terburuk dalam masa kurang 24 jam.
Malam semalam, seorang budak perempuan berusia lima tahun terkorban dan 40 lagi cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata melontarkan bom tangan dan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan anti kerajaan di Wilayah Trat Province, lebih 300km dari sini.
Dalam pada itu, ada laporan dalam media tempatan tentang pemimpin Barisan Bersatu Bagi Demokrasi Menentang Diktator yang pro kerajaan menyeru penyokong mereka supaya bersiap sedia untuk bertempur dan berkonfrontasi.
Beribu-ribu pemimpin dan anggota Kumpulan Baju Merah hari ini mengadakan perhimpunan di kubu mereka di wilayah Nakhon Ratchasima di timur laut Thailand di tengah-tengah laungan bagi 'Membunyikan Gendang Perang'. - Bernama
No comments:
Post a Comment