Monday, 24 February 2014

Ibu saksi anak maut depan mata

Ibu saksi anak maut depan mata
Mangsa dipangkuan ibunya selepas terlibat dalam nahas jalan raya, petang kelmarin.


BENTONG - Hasrat seorang pemuda untuk melaporkan diri pekerjaan baharu di Hospital Kuala Pilah hari ini tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 18 Jalan Karak-Kuala Pilah dekat Telemong di sini kira-kira jam 5.05 petang kelmarin.

Lebih menyedihkan kemalangan itu turut disaksikan ibunya yang menaiki kenderaan lain di belakang mangsa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohamad Nor berkata, mangsa dikenali sebagai Abdul Rahman Razlin, 20, beralamat di Taman Sri Siantan.

Menurutnya, mangsa menaiki motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari arah Karak menuju ke Kuala Pilah.

“Setibanya di tempat kejadian yang merupakan satu selekoh, motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas, lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Kemudian bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 31 tahun,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, mangsa kemudiannya tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami kecederaan manakala kenderaannya mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

“Hasil siasatan awal mendapati semasa kejadian berlaku, cuaca baik dan jalan kering.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment