Monday, 24 February 2014

Kanak-kanak gila gajet anti sosial


Cara perlawanan kemuncup

KUALA TERENGGANU - Kemunculan pelbagai jenis gajet dengan aplikasi permainan alam maya yang kini menjadi kegilaan kanak-kanak, telah menenggelamkan beberapa jenis permainan tradisional yang popular suatu ketika dahulu.

Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Terengganu, Zahari Mat berkata, situasi agak membimbangkan itu meninggalkan banyak kesan terutama dari segi keyakinan diri dan pergaulan kanak-kanak itu sendiri.

“Kebanyakan kanak-kanak main gajet berseorangan, jadi secara tidak langsung ia akan menjarakkan hubungan bersama kawan yang lain, menjadi anti sosial, sedangkan pada usia 7 hingga 11 tahun, mereka perlu bergaul dan mengeratkan silaturahim.

“Apabila keadaan ini berlaku, nilai murni dalam kalangan mereka sudah tiada. Mereka enggan bergaul, lebih teruk lagi kesihatan akan terjejas terutama mata kerana terlalu kerap dan lama melihat gajet,” katanya.

Menurutnya, dalam hal ini, peranan ibu bapa penting kerana mereka yang bertanggungjawab penuh dalam mencorakkan keperibadian anak-anak.

“Ada ibu bapa yang malas memantau kegiatan anak di luar rumah dan lebih gemar memberikan gajet kepada anak supaya mereka dapat duduk diam di dalam rumah.

“Berbeza sekiranya kanak-kanak ini diberi pendedahan terhadap permainan tradisional bersama rakan atau jiran, mereka lebih bijak bergaul malah secara tidak langsung hubungan dengan jiran juga semakin rapat apabila bersama luangkan masa untuk melihat anak mereka bermain,” katanya.

Beliau berkata, terdapat 10 jenis permainan tradisional kanak-kanak yang terkenal suatu ketika dahulu antaranya baling selipar, tuju kasut, baling tin, polis sentri, lompat getah, guli, gasing, datuk harimau, batu seremban dan sebagainya.

“Masih ada kanak-kanak yang membesar di kampung bermain permainan itu, namun kebanyakan kanak-kanak yang membesar di bandar sudah tidak mempraktikkan lagi permainan ini atas beberapa faktor.

“Bagi mengatasi anak menjadi anti sosial, ibu bapa perlu main peranan bawa anak mereka ke taman permainan atau memperkenalkan permainan tradisional ini,” katanya.

Sementara itu, blog Journey Terengganu dikendalikan Awang@Dungun menceritakan mengenai beberapa jpermainan tradisional kanak-kanak yang begitu popular, namun kini semakin dilupakan.

Antara permainan tradisional yang terkenal adalah lawan kemuncup, anok kang atau patung kertas, jet luncur daun palas, wa wa pe pek, cuik tiang, to jel to wok, to nusuk, aci dan cak kekok kaki ayam.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment