Monday, 24 February 2014

Kereta pertama: Bagaimana untuk membelinya?

Kereta pertama: Bagaimana untuk membelinya?
ILUSTRASI OLEH: GAYOUR

PADA minggu lalu kita telah melihat bagaimana Adam memperoleh ijazah universiti dan seterusnya melangkah ke dunia korporat.

Kita juga telah melihat bagaimana dia mengatur belanjawannya supaya merangkumi pelbagai perbelanjaan yang perlu ditanggungnya sebagai seorang dewasa yang bekerja.

Ada juga sedikit babak cinta ketika Adam terserempak dengan bekas rakan universitinya, Aida. Minggu ini kita akan melihat bagaimana hubungan mereka terus mekar dan juga menambahkan pengetahuan tentang satu lagi keputusan kewangan yang penting – membeli kereta.

Kini Adam mendapati tugas sebagai juruaudit bertambah seronok selepas pertemuan istimewanya dengan Aida.

Sebenarnya, dia suka pergi bekerja setiap hari dan tidak keberatan bekerja hingga lewat malam! Pada suatu petang, sewaktu semua orang sedang membuat persiapan untuk balik, hujan mulai turun dengan lebat.

Semasa Adam menunggu di pintu masuk banknya, dia terlihat Aida.

Dia menghampiri Aida dan mula bertanya sama ada Aida sedang menunggu sesiapa tetapi Aida segera memberitahu dia menunggu hujan reda untuk berjalan ke stesen LRT berdekatan dan pulang ke rumah.

Adam kemudian mengajak Aida minum teh tarik di warung mamak berhampiran dan mereka bersembang-sembang tanpa menyedari hujan sudah lama berhenti.

Selepas itu, Adam menemani Aida ke stesen dan kemudian mereka bertukar-tukar SMS. Malam itu, Adam tidak dapat tidur!

Fikirannya asyik memikirkan Aida. Tiba-tiba terlintas di fikiran Adam, mungkin inilah masa terbaik untuk memiliki sebuah kereta.

Di samping kemudahan yang akan diperoleh, ini juga akan memberi Adam peluang untuk menghantar Aida ke rumahnya, lebih-lebih lagi pada hari hujan (dia berdoa agar hujan turun setiap hari!).

Sebenarnya, hasrat membeli kereta sudah bermain di minda Adam sejak setahun lalu apabila dia mula bekerja tetapi dia menangguhkan pembelian untuk menabung wang secukupnya bagi bayaran pendahuluan.

Inilah disebutkan oleh perancang kewangan sebagai keputusan tertangguh dan ini betul-betul memerlukan disiplin dan kesabaran.


Kereta baru atau terpakai?

Pertama sekali Adam perlu membuat keputusan sama ada membeli kereta baru atau kereta terpakai. Biasanya orang berpendapat lebih bijak untuk membeli kereta baru kerana kos penyelenggaraannya jauh lebih rendah berbanding kereta terpakai.

Itu mungkin nampak wajar tetapi kereta baru juga mempunyai kos intrinsik lain.

Misalnya, untuk mencegah jaminan kereta anda dibatalkan, anda perlu menghantar kereta baru untuk diservis ke pusat servis yang dilantik pembuat kereta secara berkala.

Mereka mungkin mengenakan caj lebih tinggi bagi servis dan alat ganti berbanding bengkel biasa. Faktor penting lain yang ramai orang kerap lupa adalah amaun susut nilai yang lazimnya lebih tinggi bagi kereta baru berbanding kereta terpakai.

Sudah tentu membeli kereta terpakai pun ada masalahnya tersendiri terutama kos penyelenggaraan lebih tinggi dan kerosakan yang mungkin tidak kelihatan serta tempoh jaminan sudah luput.

Tetapi jika anda membuat keputusan membeli kereta terpakai, anda dinasihati meminta mekanik yang boleh dipercayai untuk memeriksa keadaan kereta itu dahulu.

Kereta juga mesti mendapat kelulusan rekod pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk pastikan kenderaan itu bukan kereta curi, tidak mempunyai pengubahsuaian menyalahi undang-undang, bukan kereta potong dan sebagainya.

Hanya selepas pemeriksaan itu, anda boleh membayar si pemilik wang deposit kereta, memandangkan kes penipuan berleluasa pada masa ini.

Satu lagi faktor perlu dipertimbangkan adalah kos pembiayaan kereta terpakai lebih tinggi berbanding kereta baru.

Namun jika anda membeli kereta secara tunai, perkara di atas tidak membawa apa-apa kesan.

Jadi, jika boleh, kita harus berikhtiar untuk membeli kereta secara tunai, tanpa apa jua bentuk pinjaman, kerana kereta merupakan aset yang susut nilainya dan mengambil apa jua bentuk pinjaman bukanlah langkah bijak.


Hadkan bayaran ansuran kereta

Selepas berfikir panjang dan membandingkan harga di beberapa tempat, Adam memutuskan membeli kereta terpakai berbanding kereta baru.

Dia menyemak belanjawan untuk melihat jumlah yang perlu diperuntukkan bagi bayaran ansuran keretanya setiap bulan.

Mengikut kebiasaan, kita hendaklah mengehadkan bayaran ansuran kereta dalam lingkungan 15 peratus daripada gaji bawa pulang. Dengan mengambil kira perkara ini, Adam mula menghitung:

Gaji bawa pulang setiap bulan = 2,500
Ansuran Bulanan yang sesuai = 15% x 2,500 = 375
Tempoh Pembiayaian yang dicadangkan = 5 tahun
Jumlah Amaun Pinjaman = 375 x 12 x 5 = 22,500

Seperti yang kita lihat, ini bermaksud Adam harus mengehadkan amaun pinjaman keretanya kepada RM22,500 dan membayar ansuran kereta RM375 setiap bulan.

Langkah berikutnya adalah menetapkan bayaran pendahuluan yang mampu dibayar dan dengan menambahkannya kepada amaun pinjaman, ini boleh memberikan anggaran nilai bagi kereta yang perlu dibelinya.

Dia segera menyemak penyata pelaburan amanah sahamnya dan mendapati dia boleh mengeluarkan RM10,000!

Dia kagum memikirkan bagaimana pelaburan kecil yang dilaburkan selama beberapa tahun sahaja boleh terkumpul menjadi jumlah yang lumayan. Dia teringat kata pepatah Melayu, “sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit!”.

Dengan sedikit keazaman dan tuah, dia berjaya mencari kereta terpakai dalam keadaan agak baik, dengan perbatuan rendah, pada harga RM30,000 sahaja.

Selepas memberi bayaran muka RM10,000, dia memohon pinjaman sewa beli berjumlah RM20,000 bagi tempoh lima tahun pada kadar faedah empat peratus setahun.

Ansuran bulanan pula tepat-tepat RM400, iaitu lebih kurang satu suku daripada gaji bawa pulangnya. Ini masih boleh diterima kerana tidak melebihi satu pertiga daripada gaji bawa pulangnya.

Dengan kereta “barunya”, Adam kini perlu mengawal belanjawannya dengan penyelarasan yang betul.

Selepas menyemak semula belanjawannya, Adam dapati dia perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM800 sebulan atas keretannya, RM400 bagi bayaran ansuran dan selebihnya untuk petrol, tol, kos penyelenggaraan, cukai jalan dan insurans.

Jadi dia tiada pilihan melainkan lebih berjimat cermat dalam belanja makan minum dan hiburan jika mahu terus menabung dan menikmati manfaat insurans nyawa.

Walaupun dengan penyelarasan tersebut, wang Adam masih tidak mencukupi tetapi ibu bapanya dengan murah hati menawarkan “rebet” atas berian bulanannya kepada mereka.

Kini barulah Adam tahu bahawa memiliki kereta bukannya murah! Dia masih teringat kata-kata ayahnya, “Sebelum membeli kereta, pastikan anda mampu menyelenggarakannya”.

Sejauh manakah kebenaran kata-kata ayahnya, dia memikirkannya sambil termenung... (Sambungan kisah Adam akan disiarkan, minggu depan).

Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment