Siew Siew (duduk) menunjukkan gelagat lelaki tidak dikenali yang didakwa merakam gambar dari celah kakinya ketika berurusan di mesin ATM sebuah bank di sini, baru-baru ini.
KUANTAN - Seorang wanita dihantui kebimbangan ekoran tindakan seorang lelaki yang didakwa cuba merakam gambar ‘dalam kainnya’ ketika berurusan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Jalan Tun Ismail di sini, baru-baru ini.
Wanita terbabit, Lau Siew Siew, 31 dari Perkampungan Galing di sini bimbang gambar yang dirakam menggunakan telefon pintar oleh lelaki itu dieksploitasi atau disebarkan untuk tujuan tidak baik yang boleh mengaibkan dirinya.
Dia berkata, susulan tindakan lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu, dia tampil membuat laporan polis pada hari yang sama meminta agar siasatan dan tindakan diambil terhadap lelaki tersebut.
“Saya difahamkan lelaki itu turut tampil membuat laporan polis kononnya berlaku salah faham dan tindakannya merakam gambar saya dari bahagian bawah berlaku secara tidak sengaja.
“Saya makin tidak faham kerana terlalu banyak persoalan timbul berdasarkan penjelasan pihak polis terhadap hasil siasatan kes itu,” katanya ketika ditemui selepas tampil membuat aduan di Pejabat Adun Teruntum, Sim Chon Siang di sini, kelmarin.
Siew Siew berkata, dia difahamkan tindakan tidak boleh diambil terhadap lelaki itu kononnya tiada unsur jenayah berlaku dalam kes tersebut sedangkan dia sempat melihat paparan pada skrin telefon yang jelas terpapar bahagian celah kakinya.
“Malah rakaman CCTV bank tersebut juga menunjukkan lelaki itu ada ‘niat’ dan bukan secara tidak sengaja.
“Saya menjerit memarahinya dan sempat memegang lelaki itu selepas menyedari perbuatannya namun pegangan terlepas dan lelaki itu terus beredar seolah-olah dia melakukan kesalahan,” katanya.
Menurutnya, dia sendiri tidak pasti motif lelaki tersebut dan mungkin ada lagi wanita lain yang turut menjadi mangsa.
“Sehingga kini saya tiada jawapan jelas tentang kes ini kerana terlalu banyak persoalan mengelirukan sedangkan dia (lelaki) tidak dipersalahkan,” katanya.
Menceritakan kembali peristiwa tersebut, Siew Siew berkata, dia ke bank tersebut kira-kira jam 1.15 petang, 11 Mei lalu untuk memeriksa baki akaun.
“Ketika itu hanya dua pelanggan termasuk saya berada dalam bilik ATM tersebut dan ketika tiba giliran, lelaki itu masuk dan beratur di belakang sedangkan dia boleh ke mesin sebelah untuk berurusan.
“Tiba-tiba lelaki itu duduk bercangkung memegang telefon bimbit sambil mengambil gambar bahagian bawah kaki saya dan jelas pada skrinnya gambar yang dirakamnya itu,” katanya.
Dia berkata, selepas ditegur, lelaki itu terus beredar tanpa membuat sebarang urusan di mesin tersebut.
“Malah saya sempat merekam lelaki itu yang kemudiannya beredar dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja.
“Selepas itu kira-kira setengah jam kemudian saya pergi buat laporan polis manakala dia tampil mengambil tindakan sama jam 3 petang sebelum saya dipanggil sekali lagi untuk memberikan keterangan,” katanya.
Dia berkata, selepas kejadian, dia benar-benar tertekan kerana bimbang gambar itu disalahgunakan atau disebarkan untuk tujuan yang boleh mengaibkan dirinya.
“Saya minta polis melakukan siasatan lebih terperinci supaya kes yang berlaku ke atas dirinya tidak dialami wanita lain.
“Pada masa yang sama, satu jaminan perlu daripada pihak polis dan institusi kewangan terhadap keselamatan pelanggan terutama wanita yang datang berurusan di ATM ketika cuti hujung minggu yang keadaannya agak sunyi,” katanya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment