Ibu kepada Raja Mohammad Firdaus, Azizah Abdul Aziz, 52, (kiri) menunjukkan gambar anaknya Raja Muhammad Firdaus Raja Ikram, 23, yang dilaporkan hilang.
KLANG - "Saya berdoa semoga dia selamat. Saya berharap niat baik anak saya yang bekerja di Johor untuk menyara keluarga membolehkan beliau kembali ke pangkuan keluarga," demikian luahan ibu kepada seorang mangsa kapal korek karam di Johor.
Azizah Abdul Aziz, 52, berkata beliau tidak menyangka anaknya, Raja Mohammad Firdaus Raja Ikram, 23, akan ditimpa nasib malang itu.
Katanya beliau pernah berpesan kepada Raja Mohammad Firdaus untuk mencari pekerjaan di kawasan berdekatan namun anak ketiga daripada lima beradik itu tetap mahu ke Johor berikutan ditawarkan gaji lumayan.
"Katanya gaji di sana banyak dan dia nak tanggung keluarga. Saya berdoa sangat semoga dia selamat," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Idaman, Pelabuhan Klang di sini hari ini.
Raja Mohammad Firdaus merupakan satu-satunya rakyat Malaysia dalam kapal korek didaftarkan di Bolivia, Oceanline SC208, yang karam di 8.6 batu nautika timur Tanjung Punggai pada pukul 4.20 pagi semalam ketika dalam perjalanan dari Teluk RaI'm munia ke Pengerang.
Kejadian itu menyebabkan 14 kru kapal iaitu 13 warga China dan Raja Mohammad Firdaus hilang, manakala seorang lagi kru warga China berjaya diselamatkan kapal lain yang kebetulan melalui kawasan terbabit.
Azizah berkata Raja Mohammad Firdaus bekerja di Johor sejak setahun lepas dan pernah bercuti selama empat bulan mulai Disember tahun lepas kerana mahu menjaga bapanya, Raja Ikram Raja Mahad, 67, yang sakit.
"Namun pada 25 April lepas, dia pergi semula ke sana (Johor). Saya tidak mahu dia pergi tapi dia nak pergi juga," katanya.
Azizah memberitahu, kali terakhir anaknya itu pulang ke rumah adalah pada 4 Mei lepas untuk mengambil gaji.
Terdahulu, Azizah menerima kunjungan Ketua Umno Bahagian Klang, Datuk Nasaruddin Md.Zin yang meluangkan masa kira-kira setengah jam di sana.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment