Thursday, 21 May 2015

Noorkumalasari risaukan kakaknya Anita Sarawak

Walaupun kakaknya itu jauh di mata, namun Noorkumalasari tidak lekang mendoakan agar keadaan kakaknya setiap hari.

KUALA LUMPUR: Adik kepada penyanyi Anita Sarawak, Noorkumalasari Mohd Taib mengakui bimbang akan keadaan kakaknya yang sudah dua bulan tidak menghubunginya.

Dalam portal Singapura, The New Paper melaporkan pada Selasa kali terakhir Anita dihubungi adalah pada Mac lalu dan percubaan untuk berbuat demikian sehingga sekarang gagal.

Kata Noorkumalasari, kebiasaannya Anita atau nama sebenarnya Ithnaini Mohd Taib akan menghubunginya pada setiap kali hari jadinya yang jatuh pada bulan April, namun kali ini tiada menerima panggilan telefon dari kakaknya itu.

“Saya akui bimbang tetapi saya berharap dan berdoa agar dia berada dalam keadaan sihat dan baik. Mungkin dia sibuk melancong atau menguruskan perkara lain.

“Itu 40 peratus yang saya rasakan. 60 peratus lagi jujur saya katakan ada terdetik perasaan mungkin dia sedang sakit kerana ini kali pertama kami tidak bercakap dalam masa yang begitu lama,” kata Noorkumalasari.

Cerita Noorkumalasari lagi, bukan sahaja dirinya malah Anita sudah tidak berhubung lagi dengan lima lagi adik beradiknya.

Malah panggilan dan mesej yang dikirim mereka tidak berjawab.

“Kawan baik dia juga gagal menjejaki Anita walaupun telah mengunjungi rumahnya di Amerika Syarikat,” jelas Noorkumalasari.

Kehilangan Anita sejak tahun 2013 dari persada seni sebelum ini dikaitkan dengan berita penceraiannya dengan suaminya Mohamad Mahathir Abdullah.

Dikatakan sejak itu, Anita telah membawa diri ke Las Vegas dan telah mengenakan hijab.

“Dari pengetahuan saya, khabar angin itu tak betul. Atas sebab itulah saya menghubunginya agar dia boleh perjelaskan perkara sebenarnya.

“Nak kata dia takut saya bertanya akan hal itu, mustahil. Ini kerana kami adik beradik dan kami sangat rapat, kami saling nasihat-menasihati sekiranya ada masalah,” katanya.

Walaupun kakaknya itu jauh di mata, namun Noorkumalasari tidak lekang mendoakan keadaan kakaknya setiap hari.

“Namanya sentiasa meniti dalam doa saya setiap hari. Saya harap peminat Anita di luar sana teruskan berdoa agar Anita berada dalam keadaan baik,” kata Noorkumalasari . 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment