Puspakodi yang masih trauma dan tidak berani masuk ke rumah mengenang kejadian ribut yang melanda, semalam.
Amutha (tengah) menunjukkan rumah mereka yang terjejas akibat ribut, semalam.
SUNGAI PETANI - Seorang mangsa ribut menggigil ketakutan melihat hujan lebat disertai angin kencang sehingga menjejaskan kira-kira 91 rumah termasuk di Taman Sri Impian, Taman Songket, Kampung Titi Mandi Lembu dan Sungai Pasir Kecil.
Mangsa, Puspakodi Irisan, 55, dari Taman Songket berkata, hujan mula turun sekitar jam 2 petang ketika dia berada di rumah bersama anaknya, Latta Chinasamy, 23, sedang berbual-bual.
“Sejak 20 tahun tinggal di sini, inilah pengalaman pertama berdepan angin kencang sehingga saya menggigil ketakutan kerana melihat dengan mata sendiri kejadian yang menjejaskan berpuluh rumah di sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Dia yang sudah tidak mampu berdiri lama dan pergerakan terbatas masih trauma serta takut untuk masuk ke rumah, hanya duduk atas kerusi di halaman rumah sementara menunggu ahli keluarga lain selesai menguruskan proses daftar mangsa bencana alam kepada pihak berkaitan yang melakukan turun padang.
“Saya dengar dengan jelas bunyi bumbung rumah diterbangkan angin menyebabkan kami terus berlari ke muka pintu dan ternampak seperti sampah-sarap, bumbung, peralatan yang pecah dan serpihan lain berpusing-pusing mengikut arah angin,” katanya.
Jiran mangsa, Yuevamany Rajalingam, 54, berkata, dia bersama suami, G Muniandy, 60, dan adik ipar, G Chelayah, 50, yang berstatus orang kurang upaya (OKU) berada dalam rumah ketika terdengar beberapa bunyi angin berkenaan.
“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, saya dan suami berlari ke belakang untuk melihat apa yang berlaku, dari belakang kami berpatah balik ke pintu pagar hadapan dan mengambil keputusan untuk tutup pagar biarpun sukar kerana angin kencang.
“Sebaik sahaja tutup pintu, tiba-tiba bumbung di bahagian bilik diterbangkan angin , mujur adik ipar sudah beredar dari situ, jika tidak tak tahu apa akan terjadi kepadanya,” katanya.
Mangsa, S Amutha berkata, sebaik sahaja terdengar bunyi deruan angin semasa hujan lebat, dia bergegas melihat anaknya berusia dua bulan yang diletakkan atas katil sudah beralih tempat.
Melihatkan keadaan itu, dia terus memeluk bayinya dan dihantar ke rumah saudara yang lebih selamat.
Sementara itu, kesemua mangsa terjejas dekat Taman Songket sudah melakukan pendaftaran dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Penolong Pegawai Kebajikan Daerah, Azirawati Abdullah berkata, setakat jam 6 petang, hanya kira-kira 40 rumah berjaya didaftarkan.
“Bagaimanapun, kita akan tetap meneruskan siasatan keesokan hari (hari ini) bagi kesemua baki rumah yang didakwa terjejas akibat ribut kali ini,” katanya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment