Wednesday 22 April 2015

GST: 'Katalah apa sahaja, saya tidak akan berhenti bercakap' - Ahmad Maslan

AHMAD MASLAN

KUALA LUMPUR: Rakyat kini mula sedar pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang mendatangkan lebih kebaikan daripada sistem cukai kepenggunaan yang lain termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan sejak tahun 1972 dan 1975.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, kekeliruan maklumat rakyat tidak dikenakan cukai yang dicipta pembangkang selama ini termasuk dakwaan GST merupakan sistem cukai zalim sudah dibuktikan tidak benar.

"Pembangkang sebut selama ini kita tak ada kena cukai tapi sekarang semua orang kena. Betulkah itu? Kotak hitam kapal terbang warna hitam. Betulkah? GST cukai yang zalim. Betulkah? Kotak hitam rupa-rupanya berwarna jingga atau oren. GST model Malaysia yang sebenar adalah cukai yang adil dan tidak zalim.

"Selama ini rakyat sudah pun membayar cukai SST dalam banyak barang dan perkhidmatan iaitu 5 peratus atau 6 peratus atau 10 peratus.

"Malangnya SST itu kurang telus kerana ianya termasuk dalam harga barang yang rakyat tidak perasan sedangkan GST kini telus kerana ada dalam resit. Rakyat tiba-tiba menjadi tambah celik kewangan bermula 1 April lepas," katanya dalam laman blog http://www.ahmadmaslan.com.


Jelas Ahmad, rakyat negara ini juga dahulu tidak pernah menyimpan resit barang-barang yang dibeli namun berubah apabila kini selepas resit dibaca, ia disimpan dan di sebar ke sistem WhatsApp ke seluruh dunia.

"Pernahkah kita terfikir mengapa 170 daripada 193 negara dalam dunia ini (88%) sudah melaksanakan GST. Adakah mereka ingin menzalimi rakyat di negara masing-masing?

"Angka 170 itu termasuk negara mundur, berpendapatan sederhana rendah, berpendapatan sederhana tinggi seperti Malaysia dan juga negara-negara maju.

"Pernahkah kita cuba ingin mencari jawapan mengapa 43 daripada 57 negara (75%) dalam Pertubuhan Negara Islam (OIC) sudah melaksana GST? Tentu negara-negara itu tahu yang GST hukumnya harus dan dibolehkan daripada sudut agama Islam," jelasnya.

Katanya lagi, GST merupakan sistem cukai yang berkesan selain telus dan cekap.

"GST boleh mengembangkan ekonomi negara 0.3 - 0.5 peratus dalam tahun pertama pelaksanaannya selain mengurangkan ekonomi terselindung.

"Ia turut mengecualikan GST daripada dikenakan terhadap eksport maka jadikan eksport lebih murah dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

"GST turut membantu sektor pelancongan, mengurangkan kos perniagaan dan menjadikan harga barang lebih patut bila kos niaga berkurang," ujarnya.

Kata Ahmad, GST juga menambah hasil negara untuk manfaat rakyat sekali gus membantu negara menjadi negara maju pada 2020.

Ketika mengulas situasi peniaga yang menaikkan harga barang dengan alasan GST, ini katanya;

"Hakikatnya tidak semua peniaga naikkan harga. Peniaga yang sokong pembangkang tidak akan jayakan inisiatif baik Kerajaan BN. Mereka suka 'sabotaj' ekonomi negara ini, dengan menaikkan harga barang agar rakyat marah kepada Barisan Nasional (BN).

"Peniaga yang beretika menjual barang dengan sama harga atau lebih rendah dibanding sebelum GST. GST yang sebenar boleh menurunkan harga barang. Jika barang turun maka pembangkang akan susah hati.

"Oleh itu adalah menjadi kegembiraan pembangkang jika GST dapat dimanipulasi dengan menaikkan harga barangan."

Ahmad menegaskan, penguatkuasaan juga sedang dilaksanakan kementerian dan agensi berkenaan terhadap peniaga yang melanggar akta berkenaan kawalan harga.

"Ada orang minta saya berhenti bercakap tentang GST. Jika saya ikut kata mereka itu maka pembangkang akan menang dalam putar belit mereka merosakkan minda rakyat.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment