Mohd Faiz bergambar menggunakan GoPro miliknya
KEMUNCULAN kamera bersaiz kecil kini menjadi kegilaan terutama buat remaja bagi merakamkan aksi dan aktiviti yang dilakukan mereka setiap hari.
Dipopularkan oleh GoPro, kamera kecil itu kini menjadi fenomena dengan kehadiran beberapa lagi pesaing dalam segmen sama seperti HTC, Rollei dan Muvi.
Harganya juga semakin murah berbanding di awal kemunculannya sehinggakan semakin ramai mampu memilikinya. Kini, merakam aksi seperti mendaki gunung, menyelam dan sebagainya sudah menjadi mudah, selain tidak perlu berfikir risiko kerosakan kamera yang bakal dihadapi.
Bagi peminat sukan lasak pula, sudah tentu inginkan sebuah gajet yang ringkas dan mudah dibawa untuk merakamkan saat-saat manis mereka.
Menggunakan kamera besar mungkin sukar dan jika rakaman dibuat oleh orang lain, pasti tidak dapat merasai pengalaman aktiviti yang sebenar.
Mula popular sekitar tahun 2012 di Malaysia, kamera kecil ini dijual sekitar RM300 hingga RM2,000 bergantung kepada model yang ditawarkan.
Tertarik fungsi kamera kecil
Menurut peniaga, Mohd Faiz Ibrahim, 24, dia tertarik dengan kelebihan yang ada pada kamera kecil itu sehingga sanggup membelanjakan hampir RM1,800 untuk memilikinya.
Mohd Faiz mempunyai kamera GoPro Hero Black Edition 3+ yang dibelinya tahun lalu dan sehingga kini masih berfungsi dengan baik walaupun dibawa ke mana-mana.
“Kelebihan kamera ini memang banyak dan ianya unik. Rekaannya kecil dan mudah dibawa tetapi apa yang mampu dilakukannya adalah sangat luar biasa.
“Ia mempunyai ‘wide lens’ yang sangat baik dan sistem pemproses imejan yang bagus. Hasilnya, ia mampu menghasilkan video pada kualiti yang sangat baik tidak kira dari apa saiz seperti 720p, 1080p dan juga 4K, setanding kamera besar,” katanya.
Beliau berkata, dia mengambil keputusan untuk mencuba sendiri kamera kecil itu setelah mendengar daripada rakan-rakan tentang keupayaan kamera tersebut.
“Antara aktiviti yang saya pernah lakukan adalah menyelam, terjun bungee, mendaki gunung serta aktiviti mencabar lain dan saya sangat berpuas hati menggunakannya,” katanya.
Rakam ketika memandu
Sementara bagi pekerja swasta, Siti Hajar Mat Isa, 27, pula, dia meletakkan kamera kecilnya itu di bahagian papan pemuka kenderaannya setiap kali memandu.
Katanya, ia bagi memudahkan merakam kejadian tidak diingini yang berlaku di jalan raya.
“Pernah satu ketika, saya merakamkan aksi ragut dilakukan dua individu yang menaiki motosikal.
“Kamera saya berjaya merakamkan nombor pendaftaran motosikal tersebut dan polis berjaya mengesan mereka sehingga tertangkap,” katanya.
Sumber pendapatan sampingan
Melihatkan kepada perkembangan pesat kamera kecil tersebut, Wan Syaiful Azhar mengambil peluang untuk menjualnya melalui internet.
Bermula daripada minatnya sendiri yang pernah memiliki kamera tersebut, membuatkan Wan Syaiful yakin terhadap penerimaan kamera itu dalam kalangan masyarakat.
“Perkembangan kamera ini begitu pesat. Tahun lalu tidak ramai yang mengetahui mengenai kamera ini, namun permintaan untuk kamera itu tahun ini begitu baik,” katanya.
Kata Wan Syaiful, dia menjual kamera kecil SJCam buatan China.
“Bezanya kamera buatan China dan kamera seperti GoPro adalah harganya. Produk yang saya jual agak murah, namun mempunyai kualiti yang setanding dengan kamera yang sudah terkenal.
“Saya sendiri sudah menggunakannya lebih setahun dan ia berfungsi dengan baik, selain mempunyai jaminan,” katanya.
Dia yang baru memulakan perniagaan itu enam bulan lalu mengakui permintaan untuk kamera itu amat tinggi.
“Setiap bulan saya mampu menjual 80 hingga 100 kamera ini walaupun hanya dipromosikan dalam laman maya,” katanya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment