Monday, 27 April 2015

Tak sangka jodoh jiran depan rumah

Shahrifah Norshahrina dan Mohd Azim antara pasangan yang bakal diraikan dalam Karnival Walimatul Urus Mega, 15 Mei depan

JOHOR BAHRU - Hasrat pasangan ibu dan bapa tunggal untuk mengadakan majlis perkahwinan kali kedua masing-masing dalam suasana yang ringkas tanpa membazir dapat direalisasikan apabila bakal mempelai itu menyertai program Karnival Walimatulurus Mega anjuran Pusat Khidmat Parlimen Pulai, di sini, 15 Mei depan.

Pasangan Shahrifah Norshahrina Syed Mohd Yusof, 30, dan Mohd Azim Md Nor, 31, sepakat merebut peluang keemasan untuk menjadi salah satu pasangan yang diraikan dalam program berkenaan untuk mengelak pembaziran.

“Memang kami berhasrat berkahwin pada 15 Mei depan dan kebetulan program ini juga berlangsung tarikh yang sama.

“Ikut perancangan kami ingin bernikah dan adakan doa selamat sahaja kerana tidak mahu berbelanja besar dan mengelak pembaziran. Lebih baik wang tersebut kami gunakan untuk tujuh anak kami, namun tidak sangka ia bertukar dengan suasana yang lebih meriah," katanya, di sini.

Shahrifah Norshahrina yang bekerja di Gelang Patah berkata, dia tidak menyangka jodohnya merupakan jiran berdepan rumahnya.

“Saya berkahwin awal sebelum ini ketika usia 18 tahun dan memiliki lima orang anak manakala bakal suami mempunyai dua orang anak berusia tiga hingga 10 tahun.

“Rasa segan dan dalam masa sama gembira kerana anak-anak akan meraikan perkahwinan kami bersama-sama di kompleks kelak,” katanya.

Walimatul Urus Mega mengenakan bayaran RM1,000 bagi setiap pasangan, terbuka kepada semua warganegara Malaysia, selain membawa 100 tetamu dan menawarkan pakej cabutan bertuah untuk mengerjakan umrah selain pelbagai tawaran lain.

Program diselenggarakan Umno Bahagian Pulai bersama Pemuda Umno Bahagian Pulai dan Puteri Umno Bahagian Pulai dengan kerjasama akhbar Sinar Harian dan Majalah Pesona Pengantin serta disokong MotoBina Sdn Bhd, Ayam Penyet Ori, Pulai Spring Resort dan Laman Langat Travel & Tour Sdn Bhd.

Peluang masih terbuka kepada pasangan berminat dan untuk menyertainya boleh menghubungi talian 019-7906796 (Puan Shikin) dan 019-7792024(Puan Rokiah).

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment