Koleksi Facebook dan Instagram Rozita Che Wan
NAMA figura ini di dalam bidang lakonannya sememangnya tidak asing lagi. Masakan tidak, bukan sahaja terkenal dengan lakonan yang berkesan, ‘trademark’ bulu mata palsunya juga menjadikan dia antara pelakon wanita yang lain dari lain serta berada dalam kelas tersendiri.
Buktinya, kebanyakan drama dan telefilem lakonannya sering diingati dan adakalanya loghat Utara yang pekat membuatkan wanita berusia 42 tahun ini disenangi sesiapa sahaja.
Namun setelah sekian lama bekerja keras di dalam bidang lakonan, Rozita Che Wan mengakui dia kini sudah mula terasa penat dan malas untuk meneruskan karier lakonan seperti dahulu lagi.
Apatah lagi, sejak dikurniakan cahaya mata ketiga dan yang pertama hasil perkahwinannya dengan aktor berdarah kacukan, Zain Saidin iaitu Aaisyah Dhia Rana, Rozita atau lebih mesra di sapa dengan panggilan Che Ta berkongsi dia kini lebih selesa bekerja di belakang tabir menerusi syarikat produksinya sendiri, Padusi Production.
“Saya ingin membetulkan sedikit kenyataan saya yang dikeluarkan oleh sebuah majalah (bukan terbitan Kumpulan Media Karangkraf), yang mengatakan saya sudah meninggalkan dunia lakonan.
“Saya tidak cakap mahu berhenti, tetapi saya sebenarnya sudah mula memperlahankan karier lakonannya. Sejujurnya saya sudah malas dan penat, apatah lagi sebelum ini kalau berlakon masa memang tidak menentu,” katanya kepada media ketika ditemui baru-baru ini.
Menjelaskan dengan lebih lanjut berkaitan keputusannya itu, Che Ta berkata, dia masih menerima tawaran berlakon tetap tidak sekerap seperti dulu dan lebih selektif.
“Sekarang saya ada banyak benda nak buat dan saya semakin seronok menerbitkan program sendiri, selain sibuk dengan perniagaan online.
“Lagipun bidang lakonan bukan sesuatu yang saya suka. Dahulu saya berlakon kerana kebetulan tawaran datang dengan banyak dan ketika itu saya tidak ada apa-apa hendak dibuat.
“Selepas ini kalau ada tawaran berlakon pun, saya tidak keberatan untuk menerima dari Zeel Production kerana mereka sudah seperti keluarga saya sendiri,” katanya.
Berkongsi perkembangan terkininya, Che Ta melancarkan program baharu terbitan produksinya, Aku Yang Masak Kau Yang Panas baru-baru ini.
Program masakan tersebut merupakan projek penerbitan ketiga syarikatnya selepas program Resepi Memikat Suami dan telefilem, Wak Sayang Lu.
“Saya tahu rakyat Malaysia sukakan program masakan dan saya turut menyuntik sedikit kelainan di mana penyampaiannya lebih santai dan menguji artis-artis yang terlibat mengenai masakan. Ada artis daripada kosong pengetahuan tentang masakan terus hebat di dapur.
“Selain itu, syarikat produksi saya akan memulakan penggambaran program Resepi Memikat Suami musim kedua mulai hujung bulan ini,” ujarnya lagi.
Tidak sekadar memberi perhatian terhadap bidang di sebalik tabir sahaja, Che Ta turut sibuk dalam bidang perniagaan secara atas talian menerusi penjualan tudung dan terbaharu, minyak wangi.
“Tidak lama lagi saya akan melancarkan minyak wangi keluaran saya yang diberi nama ‘Precious RCW’ dan setakat ini sambutannya sangat memberangsangkan.
Bayangkan, dalam masa seminggu dipromosikan di laman Instagram, 5,000 botol sudah habis dijual.
“Wangian ini menggabungkan bau ros dan vanila dan saya jual dengan harga serendah RM29.90 sahaja.
“Dalam masa sama, Alhamdulilah perniagaan tudung saya juga semakin baik dan kini kami sedang menghasilkan rekaan terbaru sempena Aidilfitri ini,” ujarnya.
Kesal anak diperguna
Dalam pada itu, Che Ta sempat meluahkan rasa kesal dengan sikap sesetengah peniaga di media sosial yang mempergunakan gambar anaknya Aaisyah Dhia Rana sebagai ulasan mengenai produk mereka tanpa kebenaran.
“Saya tak buat Instagram untuk Aishah tapi gambar-gambar yang di kongsi di Instagram tu cuma ‘hashtag’ saja.
“Namun ada pula pihak yang ambil kesempatan sesuka hati menggunakan gambar Aaisyah untuk ulasan produk mereka. Ada yang meminta maaf tetapi kemudian mereka masih gunakan juga,” katanya.
Di tanya perkembangan anaknya yang kini berusia lima bulan itu, Che Ta berkata, dia terharu apabila sudah ada pihak yang sudi untuk menaja majlis hari jadi Aaisyah, biarpun hari jadi pertama Aaisyah akan datang dalam masa tujuh bulan lagi.
“Tawaran untuk Aaisyah memang banyak. Kalau tajaan kami memang tak keberatan untuk menerima.
“Tapi kalau soal tawaran lain, saya serahkan kepada Laugh Out Loud Entertainment (LOL) untuk menguruskan kerana mereka lebih arif. Lagipun saya tak mahulah dikatakan jual anak, cuma ini rezeki dia, saya tidak mahu menghalang,” jelasnya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment