Kemusnahan yang berlaku akibat gempa bumi di Kathamamdu, Nepal semalam - Foto EPA
SEBAIK sahaja pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Kathmandu, Nepal semua penumpang bersorak gembira dan ada yang menangis terharu kerana berjaya meninggalkan negara yang dilanda gempa bumi itu.
Itulah pengalaman seorang rakyat Malaysia Loy Yun Qing, 29, yang berjaya menaiki pesawat Thai Airways meninggalkan bumi Nepal yang dilanda gempa bumi semalam untuk pulang ke tanah air pagi tadi.
Beliau tidak menyangka ketibaannya ke Nepal buat pertama kali untuk menyertai ekspedisi trekking ke Annapurna pada 24 April lepas, bertukar menjadi mimpi ngeri buat dirinya akibat gempa bumi yang berlaku sebaik sahaja tiba di sana.
Yun Qing yang bekerja sebagai Eksekutif Jualan sepatutnya dijadualkan pulang ke tanah air pada 3 Mei ini selepas menyertai ekspedisi itu.
Sebaik sahaja gempa bumi berlaku, Yun Qing terpaksa membatalkan hasrat untuk menyertai ekspedisi trekking itu dan bergegas mencari pengangkutan untuk ke lapangan terbang bagi membeli tiket penerbangan pulang ke tanah air.
"Amat sukar untuk mencari pengangkutan untuk ke lapangan terbang kerana rata-rata penduduk di sana cuba lari menyelamatkan diri ditambah pula dengan gegaran-gegaran kecil yang berlaku selang beberapa minit," katanya.
Berkongsi pengalaman semasa berada di lapangan terbang itu, Yun Qing berkata suasana ketika itu kelam kabut kerana rata-rata rakyat asing mahu pulang ke negara masing-masing disebabkan kejadian gempa bumi.
"Ketika tiba di lapangan terbang, kami dimaklumkan semua penerbangan terpaksa dihentikan dan operasi lapangan terbang ditutup, semua penumpang terpaksa menunggu di luar sehingga ia kembali beroperasi pada keesokan harinya," katanya.
Sebaik sahaja lapangan terbang kembali beroperasi, hampir semua penumpang berpusu-pusu lari ke pintu perlepasan untuk menaiki pesawat.
"Ketika itu tiada pengumuman, tiada paparan skrin mengenai maklumat pesawat tiada kerana sistem tergendala, ramai yang berpusu masuk ke pintu secara tergesa-gesa sehinggakan ada yang sampai bergaduh dengan pengawal keselamatan kerana dokumen perjalanan tidak lengkap," katanya.
Isyarat telefon bimbit yang lemah juga menyukarkannya untuk menelefon syarikat penerbangan bagi menempah tiket kerana ketika itu kesemua tiket pulang ke Malaysia sudah habis dijual.
"Saya merasakan peluang untuk pulang ke tanah air amat tipis meskipun dokumen perjalanan sudah lengkap kerana pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi...saya hampir berputus asa.
"Namun, hasil percubaan beberapa kali akhirnya saya berjaya untuk menghubungi kawan saya di Malaysia meminta tolong untuk menempah tiket Thai Airways untuk berlepas ke Bangkok dahulu sebelum pulang ke Malaysia.
Penumpang hanya disuruh mempamerkan tiket penerbangan untuk masuk ke dalam pesawat kerana ramai dalam kalangan mereka kehilangan passport akibat gempa bumi.
"Kami terpaksa berpusu masuk ke pintu perlepasan kerana terlalu ramai penumpang ingin masuk dalam satu masa dan akhirnya saya berjaya melolos keluar dari himpitan manusia masuk ke dalam pesawat.
"Saya hampir menitis air mata kegembiraan dan berasa lega apabila berjaya masuk ke dalam pesawat itu," katanya.
Ketika kejadian gempa bumi pada Sabtu lalu, Loy bersama dua rakannya yang berasal dari Guangzhou, China dan pemandu pelancong warga tempatan sedang makan di sebuah restoran yang terletak di tingkat bawah sebuah bangunan empat tingkat, sebelum bertolak untuk menyertai ekspedisi itu.
"Kami merasai gegaran yang sangat kuat ketika itu, selepas itu semua orang bergegas lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri dan kedengaran bunyi bangunan runtuh tanpa henti.
"Ketika menyelamatkan diri, saya nyaris dihempap oleh batu-batu kecil dan serpihan botol kaca yang jatuh dari langit, selain dihimpit oleh himpunan manusia yang berlari menuju ke kawasan lapang yang berhampiran," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dalam beberapa saat sahaja, semua bangunan yang berada di kawasan itu runtuh akibat gempa bumi dan beliau masih sempat menyelamatkan dokumen pengenalan diri yang ditemui semula di kawasan bangunan runtuh sebaik sahajakeadaan reda.
"Saya tidak boleh bayangkan nasib saya sekiranya saya terlambat lari keluar dari kawasan itu," katanya.
Yun Qing percaya masih ada ramai lagi rakyat Malaysia yang terperangkap di Nepal akibat tiket penerbangan habis dijual.
"Saya terdengar ada rakan saya yang tiba seminggu lebih awal daripada saya ke Nepal untuk menyertai ekspedisi mendaki Kem Induk Annapurna tetapi sehingga kini masih tiada lagi berita mengenai beliau di sana.
"Ramai yang kehilangan dokumen pengenalan diri akibat bencana gempa bumi itu dan tidak dapat pulang ke negara asal masing-masing. Mereka terperangkap di sana dan terpaksa hidup dalam suasana yang menakutkan setiap kali gegaran berlaku," katanya.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment