HANEZ Suraya bersama suami dan anak tirinya. - Foto ihsan Hanez Suraya
KUALA LUMPUR: Baharu saja kembali dari menunaikan umrah semalam, persoalan sama ada Hanez Suraya akan bertudung sebaik kembali dari Tanah Suci Makkah itu turut ditunggu-tunggu.
Di laman Instagram miliknya, imej gambarnya bertudung sewaktu berada di sana seakan memberikan isyarat dan kebarangkalian bahawa dia mahu bertudung.
Sebelum ini Rozita Che Wan turut menggembirakan ramai pihak apabila memilih untuk bertudung sekembalinya dari mengerjakan umrah bersama suaminya, Zain Saidin.
Lalu apakah Hanez juga akan mengikuti jejak yang sama? Menghubunginya sebentar tadi, pelakon putih gebu itu enggan terburu-buru membuat keputusan sama ada mahu meneruskan hasrat bertudung atau sebaliknya.
HANEZ mengerjakan umrah buat pertama kali bersama suami, Romie Razin Adilha dan anak tirinya, Putera Adreeshah sejak 14 April lalu. - Foto ihsan Hanez Suraya
Hanez mengerjakan umrah buat pertama kali bersama suami tersayang Romie Razin Adilha dan anak tirinya, Putera Adreeshah sejak 14 April lalu.
Impian mengerjakan umrah itu sudah lama diimpikan Hanez dan ia dipermudahkan selepas pasangan ini berkahwin pada 14 Mac lalu.
"Memang sejak ke sana, hati saya kuat untuk bertudung. Apatah lagi di sana, semua wanita Islam bertudung. Lalu semangat nak bertudung itu jadi semakin membuak-buak. Malah saya sudah mula terfikirkan gaya bertudung macam mana yang sesuai dengan raut wajah ini. Saya juga sudah belajar nak lilit tudung dengan baik termasuk melihatnya berpandukan carian Google di laman internet.
IMPIAN mengerjakan umrah itu sudah lama diimpikan Hanez dan ia dipermudahkan selepas pasangan ini berkahwin pada 14 Mac lalu. - Foto ihsan Hanez Suraya
"Cuaca di sana kalau musim panas sama macam Malaysia, jadi bukan alasan untuk saya tidak melakukan yang sama jika sudah berada di Malaysia.
"Semuanya berbalik kepada soal hati. Sesekali timbul perasaan apakah jiwa saya akan kuat untuk berimej sebegini dengan kerja seni yang saya ceburi?
"Perasaan untuk bertudung itu jadi lebih kuat ditambah dengan saya kini yang sudah jarang berlakon. Lalu apa lagi yang saya perlu fikirkan. Di sana pun doa yang baik sentiasa dimakbulkan dan begitu juga dengan ketetapan hati saya untuk berubah menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Jalan sudah ada, sama ada saya nak teruskan atau tidak," kata Hanez.
Lalu persoalannya di sini apakah Hanez sebenarnya sudah bertudung atau tidak?
"Saya tak berani nak cakap. Lagipun saya baharu saja pulang mengerjakan umrah. Untuk menghormati ibadat yang saya lakukan, saya masih membiasakan bertudung seperti di sana.
"Sama ada saya terus bertudung atau tidak, doakan yang baik sahaja. Saya harap ia dipermudahkan. Saya bimbang timbul rasa riak.
"Biar saya perlahan-perlahan mengikut 'rentak' baharu ini. Malahan kalau keluar rumah sekarang pun saya sudah bertudung. Cuma Saya tak mahu cakap dengan mulut dahulu. Biarlah yang nampak itu... nampaklah," katanya.
Berkongsi pengalaman mengerjakan umrah, Hanez mengakui cukup tenang sepanjang berada di tanah suci itu.
"Saya melalui pengalaman yang indah di sana. Saya sudah nekad, andai visa sudah diluluskan memang saya nak pergi beribadat. Saya mahu memperbaiki dan memperbaharui diri. Kalau ada rezeki lagi, memang saya nak pergi lagi. Kalau boleh setiap tahun saya nak ke sana lagi," katanya.
Ditanya apa yang dimohon ketika berada di sana, Hanez seperti kebanyakan insan lain juga mendambakan kebahagiaan dunia dan akhirat.
"Saya berharap jodoh perkahwinan ini akan kekal hingga ke jannah. Semoga dikurniakan zuriat yang sihat dan cantik tubuh badan. Saya juga turut berdoa di tempat yang dikatakan mustajab doanya seperti di Hijr Ismail," katanya.
- Sumber: BH Online
No comments:
Post a Comment