Monday, 27 April 2015

Lembu buang tabiat makan biri-biri?

Seekor lembu yang dipelihara oleh sebuah keluarga enggan memakan rumput sebaliknya memakan biri-biri.

NAKURU - KENYA. Sebuah kampung gempar apabila seekor lembu yang dipelihara oleh sebuah keluarga enggan memakan rumput yang disediakan, sebaliknya memakan ternakan biri-birinya.

Seorang penternak, Charles Mamboleo berkata, kejadian tersebut disedari sejak minggu lalu apabila lembunya menanduk biri-biri hingga mati sebelum memakannya. 

“Saya terkejut apabila bangun pada pagi Rabu lalu dan melihat lembu saya bertukar menjadi karnivor. Saya fikir lembu ini mungkin lapar, sebab itu dia berkelakuan sedemikian. 

“Selepas kejadian tersebut, kami tambah lagi rumput dan air, tetapi ia (lembu berkenaan) masih mengejar biri-biri,” katanya seperti yang dipetik menerusi portal New York Daily News. 

Menurut Mamboleo lagi, lembu tersebut menyerang dan memakan seekor lagi biri-biri pada keesokan harinya. 

“Saya bimbang lembu itu mungkin terkena sihir kerana ia tidak melahirkan anak sejak dibeli,” katanya lagi, 

Dalam pada itu, isteri Mamboleo, Consepta Kerubo turut menyuarakan kebimbangan bahawa lembu itu mungkin menyerang dan memakan anak mereka.

Bagaimanapun, pegawai pertanian tempatan, Albert Kabugi menolak dakwaan lembu tersebut disihir. 

Menurutnya, haiwan berkenaan mungkin kekurangan zat dan mineral yang ditemui pada rumput. 

“Rumput semakin sukar diperoleh di negara itu kerana kemarau. 

“Bagaimanapun saya terkejut dengan kejadian itu. Ini kali pertama saya dapat tahu lembu makan daging,” katanya.

- Sumber: NY Daily News

No comments:

Post a Comment