Monday, 21 July 2014

Israel nafi tenteranya diculik Hamas

Gaza

Israel menafikan ada tenteranya yang ditawan oleh sayap bersenjata Hamas, Briged Izuddin al-Qassam di Gaza semasa pertempuran di Shejaiya pada Ahad.

"Tidak ada tentera Israel ditawan dan khabar angin itu tidak betul," kata Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa Bersatu, Ron Prosor kepada wartawan di New York.

Media di Israel juga melaporkan penafian yang sama daripada sumber yang berbeza. The Times of Israel melaporkan IDF dengan tegas menepis dakwaan Hamas. Haaretz pula memetik sumber Angkatan Tentera Israel (IDF) yang mengatakan dakwaan Hamas itu meragukan dan kemungkinan Hamas menawan tenteranya adalah tipis.

Jurucakap tentera Israel sebelum itu memberitahu media Angkatan Tentera Israel (IDF) sedang menyiasat dakwaan Hamas bahawa ia sudah menahan seorang tentera rejim Zionis itu.

Hamas membuat pengumuman tawanan itu di televisyen. Jurucakapnya yang Abu Ubaidah mengumumkan pihaknya menawan seorang tentera Israel bernama Shaul Aaron dengan nombor pengenalan tentera 6092065.

Beliau juga memberi amaran kepada Israel supaya "jangan bertindak bodoh" iaitu amaran kepada tentera rejim itu supaya jangan cuba membuat sebarang cubaan menyelamatkan tentera yang ditawan itu.

Berita penawanan disambut seperti pesta di Gaza dan di Tebing Barat, lapor wartawan AFP.

Hamas dahulu pernah menahan seorang tentera Israel, Gilad Shalit yang dijadikan tebusan selama lebih kurang lima tahun antara 2006 hingga 2011. Dia hanya dibebaskan setelah Israel setuju membebaskan rakyat Palestin yang ditahan di penjaranya.

Rejim Zionis itu membebaskan 1,027 rakyat Palestin sebagai ganti pembebasan seorang tenteranya. Bagaimanapun sesetengah mereka kemudian ditangkap semula oleh Israel. - Agensi

No comments:

Post a Comment