Monday, 21 July 2014

Antara wajah-wajah penumpang dan anak kapal

Seramai 298 penumpang dan anak kapal terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang dipercayai ditembak jatuh oleh anggota puak pemisah Rusia.

298. Ini bukan sekadar angka tetapi ini adalah jumlah nyawa yang terkorban dalam nahas malang yang menimpa dunia ini.

Nyawa-nyawa ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk ahli akademik, pelakon teater, aktivis AIDS, pelajar perubatan, penuntut Doktor Falsafah dan sebagainya. Ada yang membuat perjalanan bersendirian, bersama pasangan masing-masing atau dengan seluruh keluarga.

Ada yang tidak sabar untuk bertemu semula bersama ahli keluarga untuk Hari Raya, dan ada juga menggunakan Kuala Lumpur sebagai destinasi transit sebelum menyambung perjalanan ke negara masing-masing.

Siapa mereka? Apa kisah mereka?

Ng Shi Ing

Ng Shi Ing, 33, merupakanPensyarah Fakulti Psikologi Dan Pendidikan Dalam Jurusan Teaching English As A Second Language (TESL), UMS.
Beliau menghadiri persidangan di University of Antwerp, Belgium sebagai pembentang kertas kerja.

Pensyarah tersebut yang sepatutnya dijadual kembali bertugas pada Isnin depan turut ditemani anaknya yang berusia satu tahun serta adik perempuannya yang dipercayai sama-sama berada dalam pesawat itu.



Shuba Jay
Shuba Jay merupakan bekas peserta program realiti Mari Menari. Beliau yang juga aktif sebagai pelakon teater dan drama televisyen dalam perlajalan ke Kuala Lumpur bersama suaminya Paul Goes, seorang warganegara Belanda dan juga anak mereka berusia 21 bulan.



Tambie Jiee dan keluarga
Tambi Jiee, 49, isterinya Ariza Ghazalee, 46, bersama anak-anak mereka Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 19, Marsha Azmeena, 15 dan Muhammad Afruz, 13 sedang dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas lebih tiga tahun berada di luar negara.

Tambi Jiee bertugas dengan sebuah syarikat milik Shell di Kazakhstan dan baru mendapat kebenaran untuk berpindah tempat kerja dari Kazakhstan ke Kuala Lumpur.



Md Ali Md Salim
Md Ali Md Salim, 30, merupakan penuntut Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Development Neuropsychopathology di Erasmus University Rotterdam di Belanda.

Menerusi akaun Instagram beliau (@masa1777), gambar terakhirnya mempunyai mesej: "Bismillah...#hatiadasikitgentar".



Ahmad Hakimi Hanapi
Ahmad Hakimi Hanapi, 29, disifatkan sebagai payung emas kepada keluarga. Hakimi ada menghubungi datuknya Daud Kadir tiga hari lalu untuk memaklumkan bahawa beliau akan pulang untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga pada 25 Julai ini

Ahmad Hakimi meninggalkan seorang isteri yang dikenali sebagai Hasmat dan seorang anak lelaki berusia setahun lebih.

Beliau menyertai MAS lebih empat tahun lalu sebagai pembantu juruterbang.



Sanjid Singh Sandhu
Sanjid Singh, 41, tidak sepatutnya bertugas dalam pesawat MH17 tetapi bertukar syif dengan rakan setugasnya.

Sebelum ini, isterinya yang merupakan seorang pramugari bertukar syif dengan rakan setugas dan terselamat daripada insiden MH370.



Yuli Hastini dan keluarga
Yuli Hastini dari Indonesia sepatutnya pulang ke negara asalnya bersama suami John Paulisen dan anak-anaknya iaitu Arjuna Martin Paulisen, 5, & Sri Paulisen, 3.

Menurut seorang ahli keluarga, Yuli sudah enam tahun tinggal di Belanda dan bekerja di farmasi yang berbeza dari suaminya.



Elaine Teoh dan Emiel Mahler
Elaine Teoh, 27, berasal dari Pulau Pianang dan merupakan bekas pelajar Universiti Melbourne, Australia.

Beliau dan teman lelakinya Emiel Mahler dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri satu majlis perkahwinan. Kedua-duanya menetap di Melbourne.



Nick Norris
Nick Norris, 68, merupakan seorang pelayar terkenal Australia dan pengarah urusan di sebuah syarikat perunding di Perth.


Norris ditemani cucu-cucu beliau iaitu Mo Maslin (12), Otis Maslin (8) dan Evie Maslin (10)


Robert Ayley
Satu-satunya warga New Zealand di dalam MH17, Rob Ayley, 29, berada di Eropah selama sebulan untuk melihat penternak anjing Rottweiler. Ayley meninggalkan seorang isteri Sharlene dan dua anak iaitu Seth, 4, dan Taylor, 2.

Dalam emel terakhir beliau kepada ahli kelaurganya dia tulis “Saya tidak sabar untuk bertemu anak-anak dan juga Sharlene. Saya harap semua okay, kalau kita tidak dapat berhubung lagi, saya akan jumpa anda pada hari Sabtu.



Andrei Anghe dan Olga Ioppa
Andrei Anghel, 24, merupakan seorang pelajar perubatan yang mempunyai cita-cita tinggi tentang penyelidikan penawar kanser.

Beliau ditemani teman wanitanya iaitu Olga Ioppa, seorang warganegara Jerman, dan dalam perjalanan untuk bercuti ke Bali, Indonesia. Ahli keluarga memberitahu bahawa Andrei menyukai aktiviti luar dan juga pantai.


Dr. Joep Lange
Dr. Joep Lange, 59, dari Belanda merupakan penyelidik veteran HIV/AIDS yang dalam perjalanan ke Persidangan AIDS Antarabangsa di Melbourne, Australia.

- Astro Awani

No comments:

Post a Comment