Monday, 21 July 2014

Awie berjaya dapat hak jagaan anak sementara

Penyanyi rock tempatan, Awie - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: 
Penyanyi rock terkenal Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, hari ini berjaya mendapatkan hak penjagaan sementara ketiga-tiga anaknya hasil perkahwinan bersama isterinya, Rozana Misbun.

Peguam syarie Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili Awie, 46, memberitahu pemberita mengenai perkara itu selepas prosiding kes itu selesai disebut di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Nassir Abdul Aziz.

Mohd Zaidi berkata anak guamnya turut memperoleh perintah injunksi supaya isterinya, Rozana, 36, tidak mendekati penyanyi kumpulan Wings itu serta anak-anaknya dalam apa jua bentuk termasuk melalui media cetak dan elektronik.

Pada 16 Julai lalu, Awie menfailkan permohonan bagi mendapatkan hak penjagaan sementara anak-anaknya dan perintah injunksi itu mengikut Seksyen 201 dan 200 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998.

"Hakim juga membenarkan permohonan Awie supaya kedua-dua permohonan itu berkuat kuasa sehingga ada perintah lain dikeluarkan," kata peguam itu.

Mohd Zaidi juga berkata Hakim itu memberikan Rozana hak melawat anak-anaknya dua kali sebulan iaitu pada minggu pertama dan ketiga selama dua jam bagi setiap sesi lawatan di rumah yang didiami Awie dan anak-anaknya.

Selain itu, Mohd Zaidi memberitahu anak guamnya itu turut memfailkan permohonan bagi hak penjagaan kekal ketiga-tiga anaknya.

Beliau berkata mahkamah menetapkan 6 Ogos ini untuk sesi 'Sulh' yang Awie dan Rozana perlu hadir pada sesi itu bagi menyelesaikan hak penjagaan anak-anak mereka.

Sesi 'Sulh' adalah satu daripada alternatif yang efektif kepada mana-mana pasangan selain kaedah perbicaraan dan timbangtara untuk mendapatkan penyelesaian rumahtangga.

Awie yang hadir ke mahkamah dengan ditemani dua rakannya ketika ditanya mengenai perkara itu, enggan mengulas lanjut mengenainya tetapi dengan tenang dan tersenyum berkata: "Tunggulah sehingga kesemua kes itu selesai".

Penyanyi rock itu bernikah dengan Rozana di Songhkla, Thailand pada 20 Jun 2005 dan dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Pada 4 Julai lalu, Awie, pelakon utama filem 'Zombie Kampung Pisang' dan 'Hantu Kak Limah' didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana, di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama

No comments:

Post a Comment