PUTRAJAYA - Warga pendidik diminta menumpukan perhatian terhadap tugas mereka dan tidak merasa bimbang dengan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang ditangguhkan sehingga April depan.
Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata kementerian mengambil perhatian terhadap pelbagai pemasalahan yang dihadapi guru berhubung sistem PBS yang dilaksanakan sebelum ini.
Sehubungan itu, bentuk dan pelaksanaan sistem baharu PBS yang akan diumumkan kementerian pada 1 April depan tidak akan membebankan guru dengan pelbagai tugasan.
"PBS ini harus diteruskan..ia diperkenalkan kementerian untuk mentaksir (menilai) pelajar dari sudut emosi, jasmani, rohani, intelekual dan sosial.
"Ia (PBS) dapat membentuk dan melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Hadiah Portfolio Terbaik 1Citizen di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung status terkini PBS sama ada ia akan dihentikan selepas dibantah beberapa pihak yang mendakwa ia membebankan guru.
Semalam, Idris berkata kementerian tidak akan memansuhkan PBS dan akan mengumumkan bentuk dan pelaksanaan sistem baharu PBS pada 1 April ini.
Mengenai Program Pensijilan 1Citizen, Idris berkata ia merupakan pogram latihan yang dibangunkan khas untuk memupuk perpaduan negara dan masyarakat pelbagai kaum melalui penggunaan teknologi secara berhemah.
"Sehingga 31 Januari, 2014, Kementerian Pendidikan telah melatih 81,033 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengenai tatacara penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang beretika," katanya.
Program Pensijilan 1Citizen telah dilancarkan pada September, 2011 dan dibangunkan oleh Prestariang Systems Sdn Bhd (Prestariang) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.
Prestariang ialah sebuah syarikat berstatus koridor raya multimedia (MSC) Malaysia yang mengendalikan pensijilan dan latihan dalam ICT, serta menguruskan lesen perisian dan pengedaran lesen perisian.
Idris berkata program itu akan menyemai sikap bertanggungjawab di kalangan pelajar IPT supaya lebih memahami nilai-nilai etika ketika berinteraksi di media sosial dan di Internet.
Dalam majlis penyampaian Hadiah Portfolio Terbaik 1Citizen, seorang pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Norliyana Othman memenangi hadiah RM500 dalam kategori Pencapaian Terbaik Pelajar IPT tahun 2013.
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pula memenangi kategori penghantaran Portfolio 1Citizen paling banyak dan memenangi hadiah RM10,000. - Bernama
No comments:
Post a Comment