Tuesday, 25 February 2014

Suspek samun ditembak mati, dua ditahan polis di Shah Alam


SHAH ALAM: Seorang penjenayah ditembak mati manakala dua lagi rakannya ditahan polis selepas tidak kurang dua jam menyamun sebuah bunglo dipercayai milik seorang juruterbang di Seksyen 13 disini pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shukri Dahlan berkata kejadian berlaku pada jam 4 pagi di sebuah di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah di Seksyen 13 dimana suspek terdiri dari empat lelaki dipercayai warga asing telah memecah masuk sebuah kediaman banglo disitu.

“Suspek telah memecah masuk rumah tersebut dan melakukan samun. Mangsa-mangsa yang telah diikat dengan menggunakan wayar dan suspek telah mengambil sebuah komputer riba, tiga telefon bimbit dan seutas rantai yang bernilai RM300,” 

Ketika kejadian mangsa yang berusia 24 tahun, ibunya, dua adik dan seorang sepupu mereka difahamkan sedang nyenyak tidur.

“Selepas suspek meninggalkan rumah berkenaan, salah seorang mangsa telah menghubungi polis dan lanjutan dari itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Azisman Alias telah pergi ke tempat kejadian dan bersama pasukan operasinya memburu dan mengesan penjenayah yang terlibat,”

Pasukan peronda polis khususnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan telah meronda sekitar kawasan berkenaan.



“Sekitar jam 6 pagi, sebuah kereta peronda polis ini telah terserempak dengan sebuah kereta pacuan empat roda Toyota Hilux yang berhenti di tepi jalan di KM7.8 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) bersempadan dengan kawasan perumahan di kelab golf tersebut,” katanya lagi,”

Ketika polis menghampiri kereta tersebut, kenderaan Toyota Hilux itu dengan tiba-tiba memecut dan meninggalkan tempat tersebut.

“Seorang anggota kereta peronda polis yang memandu kereta tersebut itu kemudiannya bertindak mengejar kereta milik suspek itu manakala rakannya pula sebelum itu keluar dari kenderaan untuk mencari empat suspek samun yang ketika itu sedang menyembunyikan diri di longkang berhampiran dengan lebuhraya itu,”.

Drama kejar mengejar antara kereta peronda polis dan Toyota Hilux sejauh lapan kilometer itu berakhir berhampiran di Plaza Tol Batu Tiga berhampiran sebuah kilang gula di situ.

“Anggota polis tersebut berjaya menahan dua suspek – seorang pemandu dan rakannya dan kedua-duanya adalah rakyat tempatan. Hasil pemeriksaan polis, kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau dalam pelbagai kes”.

Sementara itu, seorang anggota polis peronda yang berada di dengan tempat kereta suspek Toyota Hilux itu berhenti, telah terserempak dengan empat suspek samun yang berada dalam longkang ketika itu.

“Kita percaya dua suspek dalam kereta Toyota Hilux itu sebenarnya sedang menunggu keempat-empat suspek samun tadi. Anggota polis yang mencari suspek-suspek tersebut kemudian ternampak kelibat mereka dan bertindak mengejarnya”.

Suspek-suspek tersebut telah memanjat pagar dan masuk semula ke kawasan kelab golf tersebut sambil dikejar oleh seorang anggota polis tadi.

“Salah seorang dari penjenayah tersebut telah berpatah balik dan cuba menyerang polis tersebut dengan menetaknya. Anggota polis yang terkena tetakan tersebut membalas dengan melepaskan tiga das tembakan yang mengenai perut dan badan”.

Penjenayah tersebut kemudiannya rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian sementara tiga lagi suspek telah melarikan diri. Usaha pengesanan ketiga-tiga suspek kini masih giat dijalankan anggota polis terutama di sekitar kawasan kelab golf tersebut.

“Berhampiran dengan mayat penjenayah tersebut, kita berjaya menemui semula beg yang mengandungi barangan samun yang dilakukan oleh kumpulan penjenayah tersebut di rumah bunglo tersebut dan mangsa samun telah mengesahkan barangan tersebut adalah miliknya,” kata Shukri lagi.

Rampasan dianggarkan bernilai RM10,000.

Suspek penjenayah yang meninggal dunia itu berumur 34 tahun dan berasal dari Indonesia.

Dia dipercayai baru sahaja memasuki negara ini pada 14 Februari lalu.

Manakala kedua-dua suspek tempatan yang ditahan itu berumur 25 dan 24 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pekerja di bengkel besi buruk.

“Suspek berumur 25 tahun itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau manakala rakannya pula mempunyai empat rekod jenayah lampau,”.

Susulan dari kejadian itu, polis turut menahan seorang pemandu teksi berumur 64 tahun yang dipercayai berada di kelab golf berkenaan dari awal kejadian.

“Kita terpaksa menahan pemandu teksi di sebuah surau berdekatan kawasan itu untuk tujuan siasatan kerana kita percaya mungkin dia mempunyai kaitan dalam kejadian ini”.

“Saya memuji keberanian kedua-dua anggota polis tersebut yang berjaya menangkap dan menumpaskan suspek yang melebihi jumlah kekuatan mereka. Usaha ini memerlukan keberanian”.

Shukri menambah polis mendapati kini sudah terdapatnya kerjasama antara warga tempatan dan warga asing dalam melakukan jenayah seperti jenayah pecah rumah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan.

ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment