KAJANG - "Saya sayang anak saya," kata seorang bapa yang menghadapi pertuduhan membunuh anaknya di rumah mereka di Bandar Baru Bangi, Selangor, akhir bulan lalu, ketika pertuduhan dibacakan kepadanya di Mahkamah.
Majistret di sini hari ini. Norazman Mohammad, 44, yang menghadapi tiga pertuduhan, menuturkan ungkapan itu dalam nada tenang selepas pertuduhan dibacakan sambil mengangguk faham.
Bagi pertuduhan pertama, Norazman, yang tidak bekerja, didakwa membunuh Zulaikha, 7, dengan sebilah parang di dalam rumahnya di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Kajang pada 4 petang, 30 Jan lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, bapa kepada enam anak itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan cubaan membunuh dua lagi anak perempuannya, Maryam, 10, dan Liyana, 12, pada hari, masa dan lokasi sama.
Norazman didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
"Saya sayang anak saya. Saya mengaku tidak bersalah," katanya yang berpakaian baju jersi berwarna hitam dalam nada perlahan selepas pertuduhan kedua dan ketiga itu dibacakan.
Terdahulu, peguam Norah Abu Bakar yang mewakili tertuduh berkata pihaknya memohon anak guamnya itu dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, untuk mendapatkan penilaian psikiatri.
"Saya baru berjumpa dengan tertuduh dan saya beranggapan mental anak guam saya tidak stabil. Sekiranya tertuduh didapati tidak stabil, pertuduhan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadapnya harus dipinda," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya S. Abirami membantah permohonan itu atas alasan laporan forensik, kimia dan bedah siasat berhubung kes itu masih belum diterima.
Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad menolak permohonan peguam bela itu dan menetapkan 26 Mac ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik, bedah siasat dan kimia.
Pada 6 Februari lalu, Norazman didakwa di Wad 2 Lelaki, Hospital Kajang dengan dihadiri majistret, pihak pendakwaan, peguam serta anggota keluarganya. - Bernama
No comments:
Post a Comment