KOTA KINABALU: Seorang anggota polis ditahan selepas mengamuk dengan membawa pistol dan kereta peronda polis keluar tanpa kebenaran dari sebuah balai polis di Tawau.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku adalah disebabkan polis yang berpangkat konstabel itu marah dan tidak berpuas hati selepas disenaraikan antara salah seorang yang akan dipindah tugas ke sebuah balai polis yang lain.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata anggota polis yang berumur dalam 30an itu ditahan setelah dia memberhentikan kenderaannya itu kira-kira 600m dari balai polis tersebut dalam kejadian yang berlaku 12.50 pagi pada Sabtu lalu.
Seorang anggota polis yang dikerah untuk mengesannya menemui suspek sedang menangis dalam kenderaan polis sambil sepucuk pistol berada berhampirannya.
Setelah ditenangkan, suspek dibawa oleh anggota polis tersebut ke balai polis.
“Ini adalah kes yang serius dan anggota polis tersebut akan dikenakan tuduhan melarikan kenderaan polis dan juga pistol,” katanya.
Beliau menambah, setiap jabatan polis akan menubuhkan suatu unit integriti dimana ianya akan memantau perkembangan prestasi dan etika kerja anggota-anggota polis.
Hamza berkata kejadian yang berlaku itu merupakan antara kes terpencil yang melibatkan anggota polis yang mempunyai masalah disiplin dalam pasukan polis dan perkara tersebut tidak akan diambil ringan dan mudah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, SAC Omar Mammah berkata siasatan terhadap konstabel tersebut masih dijalankan.
“Sekiranya selesai, kami akan merujuknya kepada ‘Senior Federal Counsel’ untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Astro Awani
No comments:
Post a Comment