KUALA LUMPUR - Pelan catuan bekalan air di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan bermula dari 27 Februari hingga 31 Mac ini, kata Pengarah Eksekutif Pembangunan Teknikal Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), V. Subramaniam.
Beliau berkata pelan itu dilaksanakan kerana Loji Rawatan Air (LRA) di Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi masih ditutup akibat pencemaran amonia di Sungai Langat sejak 28 Januari lepas.
"Untuk makluman, pelan itu telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam (24 Februari). Ia melibatkan lebih 60,000 pengguna di 71 kawasan terjejas," katanya pada sidang media khas di ibu pejabat Syabas di sini hari ini.
Menurutnya, air akan diambil dari loji Semenyih, Sungai Labu dan Langat bagi menampung keperluan pengguna berkenaan.
Sehubungan dengan pelaksanaan pelan itu, Syabas menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim kononnya syarikat berkenaan tidak menyediakan pelan pengagihan air berjadual dan catuan bekalan air.
"Tuduhan itu tidak benar kerana cadangan penyediaan pelan berkenaan telah dibentang pada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) pada 18 Februari lepas.
"Susulan itu, kerajaan Selangor telah memanjangkan permohonan cadangan pelan kepada SPAN pada lewat petang 21 Februari sebelum diluluskan semalam," jelas Subramaniam.
Khalid sebelum ini dilapor menyalahkan Syabas sebagai punca kekurangan bekalan air yang dihadapi penduduk sejak minggu lepas dan mendakwa pelan pengagihan tersebut sepatutnya dilaksanakan awal bagi membolehkan pengguna membuat persiapan. - Bernama
No comments:
Post a Comment