Sunday, 2 February 2014

Pelancong Malaysia 'lebih pintar'

Pelancong Malaysia 'lebih pintar'
Telefon pintar antara alat terpenting bagi pelancong Malaysia. Foto: Reuters


SEBANYAK 85 peratus pelancong 'milenium' Malaysia, atau lapan daripada 10 orang lebih suka menggunakan telefon pintar semasa merancang dan berkongsi pengalaman perjalanan mereka, menurut kajian global oleh syarikat pelancongan dalam talian terbesar dunia, Expedia.

Pelancong milenium ini, iaitu mereka yang berumur antara 18 dan 30 tahun, turut mempunyai tabiat perjalanan yang amat berbeza semasa mereka ke luar negara untuk bekerja dan bersantai berbanding kumpulan yang lebih berumur.

Menurut kajian Masa Depan Pelancongan itu, 92 peratus rakyat Malaysia yang ke luar negara untuk urusan kerja amat mementingkan ulasan daripada pelancong lain semasa merancang perjalanan mereka, iaitu kadar paling tinggi di dunia.

Namun, sepanjang setahun lalu, kebanyakan pelancong Malaysia sama ada untuk urusan perniagaan atau santai lebih suka mengirim ulasan yang positif (64 peratus) mengenai pengalaman mereka, berbanding ulasan negatif (42 peratus).

"Jika dibandingkan dengan pelancong lain di seluruh dunia, pelancong perniagaan Malaysia meletakkan penekanan tinggi terhadap harga tiket kapal terbang (48 peratus) semasa membuat keputusan perjalanan.

"Namun, lokasi hotel yang akan mereka duduki tetap menjadi keutamaan nombor satu, dengan 64 peratus pelancong Malaysia meletakkan lokasi hotel sebagai satu daripada tiga faktor paling penting semasa membuat tempahan perjalanan, iaitu antara tertinggi di dunia," menurut kajian itu.

Selain lokasi hotel dan harga tiket kapal terbang, faktor utama dipertimbangkan pelancong perniagaan Malaysia adalah harga bilik hotel (49 peratus).

Sebaliknya, pelancong Malaysia yang ke luar negara untuk tujuan santai pula meletakkan harga bilik hotel sebagai faktor paling penting (68 peratus) semasa membuat tempahan perjalanan, diikuti dengan lokasi hotel (67 peratus) dan harga tiket kapal terbang (61 peratus).

Sementara itu, di sebalik kadar penembusan telefon pintar yang sangat tinggi di Malaysia, pelancong perniagaan dari negara ini masih memilih untuk membuat tempahan perjalanan menggunakan komputer peribadi (59 peratus).

Expedia telah membantu jutaan pelancong perniagaan Malaysia untuk membuat tempahan perjalanan setiap tahun.

"Dengan kuasa membuat keputusan pelancong milenium ini semakin meningkat di rumah dan di tempat kerja, matlamat kami adalah untuk memiliki campuran tepat teknologi dan program untuk memberi manfaat kepada pelancong bagi setiap perjalanan," menurut Pengurus Besar Asia Tenggara dan Asia Selatan Expedia, Vikram Malhi.

Kajian Masa Depan Pelancongan yang dijalankan secara dalam talian itu membabitkan 8,535 pekerja dewasa di 24 negara di lima benua mengenai bagaimana mereka mengendalikan perjalanan ke luar negara.

Matlamat utama kajian itu adalah untuk menentukan bagaimana orang muda akan memberi impak kepada landskap pelancongan apabila kuasa mereka dalam membuat keputusan semakin meningkat.

No comments:

Post a Comment