MELAKA - Bandaraya Melaka hari ini dipilih menjadi tapak perintis projek 'My Buskers Corner' (MBC) bagi mengembangkan aktiviti muzik jalanan sebagai bentuk seni yang sihat.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pemilihan Bandaraya Melaka sebagai lokasi pertama berdasarkan faktor kewujudan tapak kondusif untuk kegiatan 'busking' khususnya dataran yang sentiasa dipenuhi pelawat dan pengunjung.
"Lokasi lain MBC akan dilancarkan secara berperingkat termasuk Kuantan, Port Dickson, Ipoh, Johor Baharu, Petaling Jaya, Shah Alam, Kuching, Kota Kinabalu dan Kota Baharu," katanya selepas merasmikan sudut berkenaan di dataran Sungai Melaka di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Presiden Malaysian Buskers Club, Wady Hamdan.
Beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk menyediakan masa depan lebih baik kepada generasi muda negara ini agar membuat keputusan yang selari dengan agama, undang-undang dan norma kehidupan masyarakat timur.
Abdul Rahman berkata, ia juga selaras dengan usaha merancakkan Tahun Melawat Malaysia 2014 yang merupakan sambutan pelancongan yang paling besar dan meriah di negara ini.
Beliau berkata, bandar besar dunia seperti Central Park, New York; Harajuku, Tokyo dan Covent Garden, London telah menjadi lokasi 'busking' yang terkemuka dan terkenal serta merupakan tarikan utama pelancong ke bandar berkenaan.
Justeru, katanya kementeriannya akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mewujudkan suasana kondusif kepada para pemuzik jalanan dan pengunjung bagi menikmati seni berkenaan.
Sementara itu, Idris berkata pemilihan Bandaraya Melaka bertepatan dengan statusnya sebagai bandar raya warisan dunia Unesco sekali gus menambah lagi produk pelancongan Melaka.
Bagaimanapun katanya pemuzik jalanan perlu mematuhi beberapa peraturan yang dikeluarkan PBT termasuk penjagaan kebersihan dan masa persembahan. - Bernama
No comments:
Post a Comment