Sunday, 2 February 2014

16 atlet pesilat berguru di Batam, Indonesia

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 16 atlet Persatuan Seni Silat Terengganu (Pesilat) yang mempunyai peluang cerah menyumbangkan pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) Perlis Mei ini akan menjalani latihan di Batam, Indonesia.

Setiausaha Pesilat Rani Mustaffa berkata atlet terbabit terdiri enam lelaki dan enam wanita akan menjalani latihan di Ikatan Pencak Silat Indonesia (IPSI) Kota Batam selama 10 hari mulai 18 Feb ini.

Latihan itu sebagai persediaan bagi memastikan lima pingat emas seperti disasarkan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dicapai, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada edisi Sukma 2012 di Pahang, atlet silat Terengganu berjaya memperoleh enam pingat emas dan akan cuba mempertahankan kedudukan itu, katanya.

Sementara itu, Pesilat akan menerima kunjungan atlet silat Selangor, Kedah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi pertandingan persahabatan pada 14-16 Feb ini di Gerbang Persilatan Gong Badak di sini.

Rani berkata ini juga sebagai satu daripada persiapan pemanas badan untuk menghadapi Sukma Perlis selain pendedahan menerusi kejohanan di peringkat institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Atlet silat Terengganu dilatih Shahrul Fahmi Abu Bakar bersama-sama dua pembantu. - Bernama

No comments:

Post a Comment