Wednesday, 20 May 2015

Terdapat ancaman baharu IS culik VVIP dan rompak bank

Kumpulan pengganas itu juga dipercayai merancang untuk menyerang balai polis dan kem tentera bagi mendapatkan bekalan senjata.

KUALA LUMPUR: Polis akan terus mengawasi rancangan militan IS untuk menculik orang kehormat (VVIP) bagi mendapatkan wang tebusan, selain merompak bank bagi mengumpul dana untuk membiayai kegiatan mereka.

Kumpulan pengganas itu juga dipercayai merancang untuk menyerang balai polis dan kem tentera bagi mendapatkan bekalan senjata.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata kumpulan IS juga menyasarkan lokasi tumpuan warganegara asing serta bangunan strategik kerajaan seperti pejabat-pejabat kerajaan termasuk di Putrajaya.

"Kajian menunjukkan perjuangan IS telah melepasi tahap pertama iaitu tahap merekrut dan melatih anggota baharu, dan kini memasuki tahap kedua (menculik dan merompak)," katanya ketika berucap sempena menghadiri perhimpunan bulanan Ketua Polis KL di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata seluruh pasukan polis seperti ketua jabatan, ketua polis daerah, ketua polis balai serta setiap anggota PDRM diminta sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga terhadap ancaman ini.

Pada 26 April lepas, polis menahan 12 lelaki warga tempatan kerana disyaki berkomplot melancarkan serangan ke atas sasaran-sasaran strategik dan berkepentingan kerajaan di sekitar Lembah Klang. Polis juga menemui bahan-bahan membuat bom dan senjata api.

Tajuddin berkata polis memperketatkan kawalan keselamatan di kawasan yang berpotensi menjadi sasaran militan IS.

"Selain itu, PDRM juga ada bekerjasama dengan jabatan dan agensi penguatkuasaan yang lain bagi membanteras kegiatan itu.

"Ini kerana pemantauan oleh kerajaan menunjukkan sebilangan rakyat Malaysia tertarik untuk ke Syria dan Iraq kerana terpengaruh dengan dakyah IS bahawa peperangan di Syria adalah peperangan akhir zaman," katanya.

Tajuddin menasihatkan semua lapisan masyarakat termasuk warga PDRM agar memberi perhatian kepada aktiviti yang dilakukan oleh insan tersayang bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan ideologi IS.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment