Wednesday, 20 May 2015

Dimaki kemudian kereta disimbah najis

Keadaan kereta mangsa yang berlumur najis.

NILAI – Selepas tiga hari dimaki seorang lelaki tidak dikenali melalui panggilan telefon, seorang suri rumah dikejutkan dengan insiden kereta yang diletakkan di tempat parkir rumahnya di Pangsapuri Santalia, Bandar Baru Nilai di sini, disimbah najis manusia.

Kejadian pada Jumaat lalu itu hanya disedarinya kira-kira jam 7 pagi ketika dia mahu keluar menghantar anak-anaknya ke sekolah.

Menceritakan kejadian itu, Norhayati Abdul Razak, 43, berkata, seperti biasa dia meletakkan kereta Perodua Viva miliknya di bawah pangsapuri tersebut, namun terkejut apabila mendapati terdapat kesan najis manusia pada cermin belakang keretanya.

“Kejadian ini memang mengejutkan dan ia pertama kali berlaku sejak 13 tahun saya menetap di sini. Saya tidak mahu menuduh sesiapa, tapi saya kesal kerana pengawal keselamatan yang ditugaskan tidak dapat mengesan kejadian ini.

“Sebelum ini, pada 12 Mei lalu saya ada terima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali dan mengeluarkan kata-kata kesat kerana tidak puas hati dengan penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri itu yang baru diwujudkan,” katanya yang telah membuat laporan polis.

Menurutnya, panggilan telefon seperti itu bukan kali pertama diterimanya, namun selama ini dia tidak mengambilnya secara serius.

Bagaimanapun dia tidak menyangka, diancam pula dengan insiden jijik seperti itu dan tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan penubuhan JMB yang disertainya.

“Saya dilantik memegang jawatan sebagai setiausaha JMB pada Mac lalu dan inilah pertama kali ia berjaya ditubuhkan yang bertujuan menjaga kepentingan penduduk di sini.

“Bukan mudah untuk kami menubuhkan JMB ini, tapi saya kuatkan diri untuk laluinya demi mendapatkan hak sebagai seorang pemilik rumah di sini. Tidak sangka pula, saya mendapat ancaman seperti ini,” katanya.

Kata Norhayati, dia kini bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya dan berharap polis dapat lebih kerap melakukan rondaan di kawasan itu.

“Kejadian yang berlaku sangat memberi kesan kepada saya dan keluarga. Jika benar ancaman ini ada kaitan dengan penubuhan JMB yang diwujudkan, ia memang tidak sepatutnya.

“Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan pelantikan saya sebagai setiausaha JMB atas persetujuan pemilik rumah yang hadir pada mesyuarat pertama diadakan,” katanya yang juga berharap pemilik rumah dapat tampil berhubung dengan JMB bagi memudahkan pengurusan penyelenggaraan pangsapuri tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdullah Roning ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment