Monday, 11 May 2015

Selepas TH, KWAP pula.. mana suara KJ?

Rafizi Ramli

PETALING JAYA - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar perlu menjadi suara Umno yang menuntut ketelusan dalam pengurusan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, antara desakan yang perlu disuarakan termasuk penyenaraian kesemua urusniaga dengan 1MDB termasuk pegangan bon, pemberian pinjaman, pembelian tanah dan apa-apa urusniaga yang pernah dirundingkan dengan 1MDB.

"Saya mencabar Khairy menjadi suara di dalam Umno yang menuntut ketelusan ini. Sekiranya beliau tidak mendapat jawapan yang memuaskan seperti yang dikehendaki di dalam penyenaraian urusniaga p‎engurusan TH, KWAP, KWSP, LTAT dan PNB, maka wajarlah beliau mengambil langkah berprinsip meletakkan jawatan dari Kabinet," katanya seperti yang dipetik menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Rafizi turut mengutuk tindakan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) iaitu tabung pencen negara yang dilaporkan turut membeli tanah di Tun Razak Exchange dari 1MDB.

"Pembelian tanah tersebut, walaupun dilaporkan pada harga yang lebih murah dari yang dibayar Tabung Haji (TH) adalah satu lagi bentuk suntikan dana untuk menyelamatkan (“bail out”) 1MDB," katanya.

"Tanah-tanah yang dibeli oleh TH dan kini KWAP adalah tanah milik Kerajaan Persekutuan. Malah, tanah yang dibeli oleh TH pada mulanya dikhususkan untuk Tabung Hartanah Bumiputra tetapi akhirnya diberikan kepada 1MDB pada harga yang cukup murah," ujar Rafizi lagi.

Dakwanya, Kerajaan Persekutuan bukan sahaja hilang tanah-tanah ini tetapi rugi besar apabila 1MDB mengaut keuntungan atas angin dalam urusan penjualan tanah-tanah tersebut.

"Keuntungan atas angin yang dikaut oleh 1MDB ini akhirnya digunakan untuk membayar faedah-faedah bernilai ratusan juta ringgit yang terpaksa dibayar beberapa kali setahun sedangkan dana asal yang dipinjam sebanyak RM42 bilion itu tidak diketahui ke mana perginya.‎

"KWAP sudah pun meminjamkan RM4 bilion kepada sebuah anak syarikat 1MDB dalam tahun 2011 dan laporan kewangan terkini yang diaudit menyatakan bahawa sejumlah RM3.1 bilion adalah pelaburan yang juruaudit tidak mempunyai sebarang maklumat," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya sebarang urusniaga membeli tanah-tanah Kerajaan Persekutuan yang diberikan pada harga yang rendah kepada 1MDB adalah satu tindakan menyelamatkan (“bail out”) 1MDB dihentikan segera

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment