Monday, 11 May 2015

11 rakyat Malaysia sertai militan maut

Militan IS mula mengembangkan sayap mereka ke seluruh dunia. - Sekadar gambar hiasan

KOTA BHARU - Sebelas rakyat Malaysia yang dikesan terlibat dengan kumpulan militan IS (Islamic States) kini maut, dengan enam daripada mereka 'pengebom bunuh diri'.

Mengesahkan demikian, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jenazah mereka tidak dapat dibawa balik kerana ‘ada di Syria dan ada setengah terlibat melakukan pengeboman di Iraq.’

"Enam daripadanya adalah pengebom bunuh diri, bukan pengebom berani mati. 

"Kumpulan militan IS ini mengeksploitasi istilah 'pengebom berani mati' untuk menghalalkan tindakan bunuh diri menggunakan bom.

"Ini konsep kumpulan militan. Mereka akan ubah term (istilah) dan gunakan istilah itu dengan berkata itu adalah operasi syahid dan ini menghalalkan tindakan mereka, kononnya siapa yang terlibat akan mati syahid," katanya. 

Beliau bercakap kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja ‘Ancaman Kumpulan IS terhadap Negara’ di majlis perasmian Multaqa Imam, guru takmir, guru Kafa dan jawatankuasa masjid negeri Kelanatan 2015, di sini, hari ini. 

Turut hadir Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Ayob Khan berkata, pihaknya telah mengenalpasti terdapat kira-kira 80 rakyat negara ini yang telah menyertai kumpulan militan IS di Syria setakat ini.

"Angka ini mungkin meningkat dan mereka ini merupakan kumpulan pengganas yang unik kalau dilihat daripada cara mereka merekrut anggota dan lain-lain.

"Mereka juga mengeksploitasi golongan wanita dan ramai yang terpengaruh untuk menyertai kumpulan ini kemudiannya dijadikan hamba seks," katanya.

Beliau berkata, kumpulan IS ini bijak mengeksploitasi media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk menyebar propaganda mereka.

"Mereka ada beribu cyber trooper (perwira maya) yang akan menjawab balik apa sahaja kenyataan dari media berkaitan IS.

"Selain itu mereka ada membuat dokumentari dan macam-macam lagi," katanya. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment