Monday, 11 May 2015

Jumpa beg berisi senjata yang 'disembunyikan'


KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu sebuah beg mengandungi sepucuk pistol, peluru dan magazin peluru, ditemui seolah-olah disembunyikan berhampiran Kampung Tanduo, Lahad Datu iaitu lokasi berlakunya pencerobohan oleh sekumpulan lelaki Sulu bersenjata.

Pegawai Staf 3 Markas 5 Briged, Kapten Kamarul Harith Abu Hurairah berkata, beliau merampas barangan berkenaan ketika menjalankan tugas bersama Batalion Kesembilan Rejimen Renjer Diraja dalam operasi menjejak dan menangkap penceroboh Sulu bersenjata itu.

Kesemua item itu ditemui pada 17 April 2013, pada 1.30 tengah hari di kawasan semak di Tanjung Labian kira-kira empat hingga lima kilometer dari Kampung Tanduo, katanya.

"Beg sandang belakang tersebut berwarna hitam dengan perkataan 'EXTEAM'. Ia mengandungi satu pistol dipercayai jenis Colt .45, yang mempunyai tulisan 'UNITED STATES PROPERTY 796352-M1911 US ARMY' dan dua kelopak peluru yang mana satu berkarat dan satu berwarna perak.

"Dalam beg itu juga ditemui 20 peluru, masing-masing mempunyai tulisan -- lima peluru ditulis 'RAI 12 45 AUTO', enam ditulis 'A USA 45 AUTO', tiga tulisan 'AP 06 45 AUTO', dua tulisan 'AP 08 45 AUTO', dua ditulis 'BM 08 45 AUTO', satu tulisan 'RAI 08 45 AUTO' dan satu ditulis '45 AUTO M-M'," katanya. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment