Monday, 11 May 2015

CEO Apple buka akaun 'Twitter' China, Weibo


BEIJING - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple Inc, Tim Cook membuka akaun rasminya di Weibo, yang bersamaan dengan Twitter, pada Isnin dan menarik hampir 300,000 pengikut dan lebih 42,000 'like' dalam masa tiga jam selepas membuat catatan pertama di 'microblogging' itu.

"Hello China! Gembira dapat kembali ke Beijing, mengumumkan program baharu yang inovatif," demikian mesej Cook dalam bahasa Inggeris dan Cina pada jam 3.06 petang tadi, dan menarik lebih 35,000 komen dan lebih 27,000 'share' oleh netizens setakat jam 6.30 petang.

Banyak pengguna Weibo menyapa 'selamat datang ke China,' manakala ramai pula yang menggunakan sepenuhnya platform itu dengan mengemukakan pelbagai cadangan.

Sebagai contoh, terdapat mesej dalam bahasa Inggeris berbunyi: "Hello Cook, saya ada cadangan! Bolehkah anda tingkatkan tetapan penggera? Menyelaraskannya setiap hari satu masalah! (bersama-sama dengan tiga emotikon menangis) Tolonglah! "

Kebanyakannya meminta lebih banyak promosi Apple dan harga yang lebih rendah bagi produknya.

"Tapi Mr Cook, bolehkah anda turunkan harga Applewatch? Terlalu mahal! Sayatidak mempunyai banyak buah pinggang untuk dijual," satu lagi mesej pengguna Weibo dalam bahasa Inggeris yang menyindir.

Menjual buah pinggang untuk mendapatkan iPhone atau iPad menjadi gurauan di China selepas seorang remaja China dilaporkan menjual buah pinggangnya hanya untuk membeli iphone pada 2012.

Laporan yang dikeluarkan firma penyelidikan pasaran International Data Corporation (IDC) hari ini menunjukkan Apple adalah vendor telefon pintar utama di China pada suku pertama 2015, dengan penghantaran mencecah 14.5 juta bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, meningkat 62.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dengan bahagian pasaran sebanyak 14.7 peratus. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment