Spesies beruk seperti ini yang dikatakan menyerang dan mengigit.
BESUT - Seorang nenek putus dua urat tangan kanan dan cedera di beberapa bahagian lain badannya manakala dua lagi termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun turut cedera selepas diserang seekor beruk jantan di Kampung Keluang di sini semalam.
Dalam kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa seorang warga emas, Lijah Ismail, 85, diserang beruk berkenaan ketika sedang menyapu sampah berseorangan di halaman rumahnya.
"Ketika sedang asyik menyapu sampah seekor beruk jantan tiba-tiba berada di belakang saya dan terus menerkam dan menggigit tangan kanan saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Beliau berkata selepas serangan beruk itu dia meminta pertolongan daripada keluarga untuk membawanya ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu seorang lagi mangsa yang juga merupakan anak Lijah, Mohd Idris Salleh, 67, memberitahu selepas menyerang ibunya, beruk itu datang ke rumahnya pula yang terletak selang beberapa buah dengan rumah ibunya.
Katanya ketika itu dia sedang berada di halaman rumah apabila didatangi beruk yang beratnya dipercayai dalam lingkungan lapan kilogram yang terus menyerangnya.
"Beruk itu cuba menggigit tangan kiri tetapi mujur saya sempat menepis dan memukul beruk itu dengan kayu kecil dan hanya mengalami kecederaan kecil di tangan sahaja," katanya ketika ditemui Bernama.
Mohd Idris berkata selepas menyerangnya beruk itu pergi ke rumah anak saudaranya yang terletak di seberang jalan besar Tembila ke Kampung Raja kira-kira 300 meter dari rumahnya.
Katanya beruk itu kemudiannya bertindak menyerang pula cucu saudaranya Nurain Syuhada Danial Hamizan, 6.
Susulan kejadian tersebut pihak Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Besut telah mengadakan operasi menangkap beruk itu yang dipercayai terlepas daripada jagaan tuannya.
Bagaimanapun, sehingga hari ini mereka masih belum berjaya mengesan beruk terbabit.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment