Mangsa, Muhamad Ammar Abd Aziz menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.04 petang
ALOR SETAR: Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh keluarga angkatnya, lewat petang tadi.
Mangsa, Muhamad Ammar Abd Aziz menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.04 petang ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar selepas dirujuk dari Hospital Jitra dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai mengalami sawan.
Difahamkan, bayi berkenaan dipindahkan ke HSB pada jam 11.55 pagi bagaimanapun mangsa meninggal dunia pada jam 4.04 petang.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, pihaknya menerima panggilan daripada pakar perubatan di Hospital Jitra yang memaklumkan pemeriksaan ke atas bayi berkenaan menemui kesan lebam di bahagian kepala, badan dan kaki.
Selain itu, hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesan luka lama pada paha kanan manakala tulang selangka kiri mangsa patah.
Berikutan itu, pihak polis menahan pasangan suami isteri berusia 30 dan 40 tahun yang berasal dari Jitra dipercayai keluarga angkatnya untuk siasatan lanjut.
Menurut Mohd Nashir lagi, siasatan dilakukan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk bedah siasat.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment