Keadaan rumah didiami mangsa ketika kebakaran.
KOTA BHARU - 'Mak, tolong! Mak, tolong!'...hanya laungan itu mampu didengari ketika api marak menjulang bersama asap tebal yang memerangkap seorang gadis lembam, Nor Fatini Buniamin, 25.
Nor Fatini kehilangan nyawa dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Bechah Hangus, Ketereh, dekat sini, pada kira-kira jam 4.30 pagi semalam.
Mengimbas peristiwa tragis itu dalam nada teresak-esak, ibu mangsa, Fauziah Mahmud, 58, berkata, dia masih terbayang riak wajah anaknya meminta tolong dari dalam kelambu di bilik tidurnya.
"Maafkan saya kerana tak dapat cerita peristiwa ini dengan banyak. Saya masih trauma dan masih teringat lagi arwah meronta-ronta memanggil saya minta tolong.
"Saya berusaha untuk keluarkan Nor Fatini dari bilik di mana dia tidur berseorangan, tetapi api terlalu marak dan asap tebal dari dapur. Saya tak mampu mendekatinya. Kami hanya mampu menangis lihat dia ketika kelam kabut menyelamatkan diri," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Baru dua minggu balik kampung
Fauziah memberitahu, dia dan suaminya, Buniamin Othman, 60, merupakan pesara kerajaan dan mereka baru dua minggu pulang ke kampung serta menumpang di rumah ibu saudara sementara menunggu rumah mereka di Taman Bechah Limbat siap.
Sementara itu, seorang lagi anak Fauziah, Faidah, 22, yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Pengkalan Chepa, di sini, berkata, dia bergegas pulang sebaik sahaja dihubungi sepupunya pada jam 5 pagi, memaklumkan kejadian.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment