FILEM yang mengetengahkan dilema gadis kurang cantik yang terpaksa bersaing dengan gadis yang cantik dan popular di sekolah bukan lagi naskhah baharu di layar perak.
Bagaimanapun entah mengapa, garapan sebegini sering menjadi pilihan para remaja, terutamanya remaja perempuan untuk ditonton berulang kali.
Menyedari sambutan yang menggalakkan itu, Vast Entertainment bersama Wonderland Sound and Vision menerbitkan filem The Duff yang diarahkan Ari Sandel.
Filem komedi ini mengisahkan tentang seorang senior sekolah tinggi bernama Bianca yang terkenal dengan nama panggilan DUFF, yang bermaksud buruk dan gemuk jika dibandingkan dengan kawan-kawannya yang lain yang lebih cantik dan popular.
Dia kemudian meminta pertolongan seorang atlet kacak bernama Wesley untuk membantunya memperbaharui dirinya dan mendapatkan semula reputasinya sebelum tahun terakhirnya itu menjadi lebih teruk.
Sudah menemui penonton di Malaysia sejak 9 April lalu, filem ini dijayakan Mae Whitman sebagai Bianca Piper, Robbie Amell (Wesley Wes Rush), Bella Thorne (Madison Morgan), Bianca A Santos (Casey Cordero), Allison Janney (Mrs Piper), Ken Jeong (Mr Arthur), Romany Malco (Principal Buchanan), Skyler Samuels (Jessica Jess Harris) dan ramai lagi.
Membawa penonton melayari kisah pelajar di sekolah tinggi, kelebihan utama cerita ini adalah garapan komedi santai dan tampak tidak terlalu dibuat-buat.
Ia sekali gus menyebabkan para penonton tidak perlu untuk menilai atau memikirkan apa yang berlaku seterusnya sebaliknya hanya duduk menikmati bertih jagung dan jalan cerita dari awal hingga akhir.
Meskipun kisah zaman sekolah tinggi sudah biasa ditonjolkan dalam filem-filem luar, namun Sandel bijak memasukkan beberapa elemen menarik yang meliputi segalanya mengenai zaman persekolahan.
Namun dalam kisah dan komedi yang ditonjolkan, Sandel tidak lupa untuk menyelitkan mesej berguna kepada para penonton di mana, jika kita berusaha untuk dapatkan sesuatu yang kita mahu, kita akan berjaya mendapatkannya.
Dan tidak semestinya anda cantik dan popular ketika zaman persekolahan, maka hidup anda akan sentiasa bersahaja.
Lakonan bersahaja
Selain jalan cerita yang santai, lakonan bersahaja oleh semua pelakon, terutamanya Amell sebagai Wesley tentu sahaja akan menarik perhatian penonton perempuan.
Dengan wajah yang agak kacak dan bertubuh sasa, ia sekali gus menjadi daya penarik untuk remaja perempuan menonton filem ini berkali-kali.
Manakala kehadiran pelakon lain termasuk pelakon utamanya Whitman yang membawakan watak Bianca berjaya mengemudi watak masing-masing dengan baik.
Justeru, bagi anda yang belum menyaksikan filem ini dan mencari sebuah filem santai pada hujung minggu, jangan lupa menyaksikan The Duff di pawagam berdekatan.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment