Saturday, 18 April 2015

Adik saya bertunang, bukan saya - Remy Ishak


PELAKON, Remy Ishak. - Foto Aziah Azmee


KUALA LUMPUR : Pelakon Remy Ishak menafikan khabar angin yang mengatakan beliau bertunang seperti mana yang didakwa oleh sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Jejaka berusia 33 tahun itu menjelaskan bahawa kontroversi itu timbul apabila seorang peminat membuat komen berkenaan pertunangannya di laman sosial Instagram. 

"Salah faham ini mungkin timbul apabila seorang peminat komen di gambar saya baru-baru ini. Tidak dinafikan ada yang terkeliru dengan komen dibuat oleh peminat itu.

"Sebenarnya adik saya yang bertunang dan akan berkahwin pada bulan September ini. Saya berasal dari keluarga yang tidak mewah jadi apa-apa pun saya akan biarkan adik saya lepas dulu.

"Jika diikutkan saya meletakkan target untuk berkahwin pada usia 28 tahun namun kini saya sudah berusia 33 tahun," kata Remy ketika ditemui pada majlis pratonton filem Pilot Cafe di Nu Sentral, di sini.

Remy menegaskan bahawa beliau berada dalam hubungan terbuka dan belum mempunyai ikatan yang serius dengan mana-mana wanita.

Beliau tidak menolak pilihan dari ibunya seandainya umur sudah lanjut nanti.

"Sebenarnya orang susah untuk mendekati saya kerana kerjaya sebagai seorang pelakon yang sentiasa dikaitkan dengan pelbagai kontroversi. Ia kadang kala membuatkan orang takut hendak berkenalan dengan saya," katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Remy mengakui terkilan kerana tidak dipilih memegang teraju Ameer Reza dalam filem Pilot Cafe arahan Osman Ali itu. 

Beliau berkongsi bahawa telah lama meminati novel itu sejak di bangku sekolah lagi.

"Dulu ketika di bangku sekolah saya sudah berangan menjadi watak Ameer itu kerana terpengaruh dengan membaca novel Pilot Cafe itu. Malah saya menyimpan impian untuk menjadi juruterbang kerana membuatkan lelaki tampak berkarisma dan 'charming'.

"Namun saya berbangga kerana dapat menjadi sebahagian keluarga Pilot Cafe dan saya rasa Fahrin yang melakonkan watak Ameer itu berjaya membawakan wataknya dengan baik sekali," kata Remy.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment