Thursday, 16 April 2015

Memperkenalkan Benelli TNT 300 bahru

Bahagian sisi badan TNT 300.


Lampu belakang kemas.

MUNGKIN ada sebahagian daripada penggemar motosikal berkuasa tinggi sudah biasa mendengar jenama Benelli. Tidak asing di persada industri global, Benelli pernah mencapai zaman kegemilangannya pada suatu ketika dahulu.

Popular dengan varian TNT 600 sebelum ini, Benelli melangkah setapak maju ke hadapan dengan memperkenalkan pula versi kapasiti enjin lebih kecil yang dikuasakan enjin dua silinder selari iaitu TNT 300.

Sejujurnya, Benelli memerlukan jarak perjalanan yang agak jauh untuk mendapatkan tempat dalam pasaran tempatan. Secara terang-terangan, mereka terpaksa bersaing dengan KTM Duke dan Kawasaki Z250 sebagai pesaing terkuat dalam kategori naked peringkat kemasukan.

Selepas bersetuju untuk mengambil unit tunggang uji, penulis sempat memerhatikan binaan keseluruhan TNT 300 secara terperinci. Dari segi rekaan, Benelli bijak bermain dengan keluk-keluk pada bahagian badan untuk serlahkan karakter yang lebih maskulin.

Identiti jentera berketurunan Eropah ini diperkuat dengan kerangka trellis, suspensi belakang sisi tunggal boleh laras, ekzos di bawah perut enjin dan saiz tayar yang lebih lebar. Persepsi awal penulis menyatakan motosikal ini memperoleh sentuhan rekaan yang menarik dengan penggayaan yang kemas.

Duduk di atas pelana TNT 300, sama seperti abangnya, pelana yang disediakan lebar dan selesa diduduki. Mudah menghidupkan enjin dengan sistem penghidup elektrik, bunyi yang terhasil cukup enak didengar berbanding enjin dua silinder selari lain dalam pasaran.

Benelli TNT 300 masih memiliki pengaruh rekaan dan konsep kejuruteraan Itali yang kuat walaupun ia dikeluarkan di China dan dipasang secara tempatan. Di atas kertas, TNT 300 memiliki kuasa 36.2hp pada takat 11,500rpm, manakala output tork setinggi 26.5 Nm pada 10,000rpm.

Pengendalian klac yang ringan memudahkan pengubahan gear enam kelajuan. Anjakan penghantaran kuasa lancar pada kitaran enjin rendah dan penulis berasa selesa mengendalikannya dalam keadaan trafik bandar yang sibuk. Tahap pengendalian TNT 300 di kawasan bandar cukup fleksibel untuk bergerak santai pada kitaran antara 3000 rpm hingga 4000 rpm.

Ketika tunggangan di jalan terbuka, TNT 300 terpaksa dikerah sehingga mencapai rpm yang tinggi untuk mendapatkan daya pecutan yang lebih memuaskan. Sedikit lewat untuk mencapai kelajuan yang diinginkan, penulis memperoleh kelajuan maksimum pada 155 kilometer sejam (km/j).

Ketika di selekoh sempit, berat badan TNT 300 tidak terasa terlalu terbeban dan boleh dikatakan mudah untuk dikendalikan. Di sini, penulis tidak mengambil berat isu pecutan yang sedikit lambat yang mungkin disebabkan tubuh TNT 300 yang berat. Akan tetapi, penulis lebih mengutamakan tahap keselesaan dan prestasi pengendalian yang baik berdasarkan konsep dan kategori jentera naked ini.

Penulis berterima kasih kepada cengkaman tayar Pirelli yang menyediakan tahap keyakinan yang baik. Melengkapkan ciri keselamatan dan pengendalian, TNT 300 dipasangkan sistem brek cakera 260 milimeter (mm) di hadapan yang menyediakan gigitan brek yang mencukupi.

Secara keseluruhan, penulis meletakkan TNT 300 sebagai salah satu pilihan yang baik dalam kategori naked peringkat kemasukan. Tahap pengendalian dan keselesaan tunggangan yang baik menjadi alasan utama kepada komentar tersebut.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment