Thursday, 16 April 2015

Dua nelayan dikhuatiri lemas

Ketua Penguat Kuasa Maritim Tok Bali, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria bersama mangsa yang selamat di Tok Bali semalam.

BESUT - Dua nelayan dikhuatiri lemas manakala 23 lagi berjaya diselamatkan selepas bot mereka karam berhampiran Pulau Perhentian di sini, jam 4.30 pagi semalam.

Kejadian berlaku ketika bot yang membawa 25 nelayan membabitkan seorang tekong dan 24 awak-awak bersama tangkapan hasil laut itu dalam perjalanan pulang ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, bot kelas C-0 terbabit dikatakan terlanggar batu besar ketika perjalanan itu kerana keadaan ketika itu gelap dan ribut.

Menurutnya, 23 nelayan terbabit diselamatkan oleh bot nelayan tempatan dan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) sebelum dibawa ke Pangkalan Maritim Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan manakala dua lagi hilang.

“Bot yang didaftarkan di Besut itu sepatutnya pulang ke pangkalan jeti LKIM Kuala Besut untuk mendaratkan ikan, tetapi pecah dan karam ketika menghampiri Pulau Perhentian selepas dipercayai terlanggar baru kira-kira 11 batu nautika dari Kuala Besut.

“Kejadian berlaku ketika cuaca agak buruk, hujan dan ribut dengan ombak mencecah ketinggian kira-kira enam meter,” katanya.

Khaled berkata, kesemua nelayan terbabit adalah warganegara Thailand dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan jam 9.10 pagi semalam membabitkan Maritim dengan dibantu Pasukan Polis Marin, Bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi mengesan dua nelayan yang hilang iaitu Ahmad Anuar Ismail, 23 dan sepupunya Ibrahim Kadir, 45.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment