Anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Teluk Intan berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit akibat terlibat dalam kemalangan di Kilometer 14 Jalan Teluk Intan- Chenderong Balai, semalam.
TELUK INTAN - Tiga maut manakala empat cedera parah apabila terlibat dalam dua kemalangan berasingan di Tapah dan Chenderong Balai.
Kejadian pertama melibatkan dua lelaki maut yang di tempat kejadian akibat terlibat dalam kemalangan di Kilometer 319.4 Lebuhraya Utara Selatan kira-kira jam 9 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak Din Keliaw berkata, mangsa merupakan penunggang motosikal, Ahmad Shamimi Aliash, 25, dan pemboncengnya, Marwan Zurin Zulkifli, 22, berasal dari Kampung Pinang, Kamunting.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila motosikal jenis Honda Ex5 ditunggang kedua-dua mangsa yang perjalanan dari arah selatan ke utara dipercayai telah terbabas ke tengah jalan.
"Pada masa yang sama, sebuah kenderaan yang tidak dikenali tidak sempat mengelak dan melanggar mereka.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa cedera parah dan maut di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Som Sak berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa untuk tujuan pengebumian.
Katanya, pihaknya kini giat mengesan kenderaan terlibat yang dipercayai melarikan diri dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Traktor langgar kereta
Di Cenderong Balai pula, seorang lelaki maut manakala empat lagi parah dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan traktor di Kilometer 14 Jalan Teluk Intan-Chenderong Balai, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisoner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 11 pagi semalam mangsa, Dasril Anshuar, 33, maut di tempat kejadian.
Menurutnya, manakala, Farah Wahidah Abdullah, 33, Ahmad Izz Thaqeef Dasril, 11, Muhammad Izz Zharfan Dasril, 8 dan Izz Aisyah Khumaera Dasril, 4, mengalami kecederaan parah.
"Kejadian berlaku apabila mangsa yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor bersama ahli keluarganya dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Chenderong Balai.
“Tiba di tempat kejadian, sebuah traktor dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun dari arah Chenderong Balai - Teluk Intan dipercayai memasuki simpang tanpa memberikan keutamaan kepada kenderaan yang bergerak terus di laluan bertentangan," katanya.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa tersepit dan maut di tempat kejadian manakala empat ahli keluarganya yang parah, kini dirawat di Hospital Teluk Intan.
"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.33 pagi semalam sebelum anggotanya bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, tiba di tempat kejadian, mereka mendapati sebuah kereta Perodua Kancil berlanggar dengan traktor yang mengakibatkan seorang mangsa tersepit dan disahkan meninggal dunia.
“Anggota bertindak menggunakan rescue tools bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum serahkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.
“Operasi diketuai Sharifuddin Jubri@ Kamaruddin itu tamat pada jam 12.20 tengah hari tadi (semalam),” katanya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment