Monday, 2 March 2015

Kejohanan All England: Kita masih ada peluang

Mohd Arif Latif terpaksa mengharungi pusingan kelayakan sebelum mendapat tempat ke undian utama Kejohanan All England. Gambar kecil: Norza mahu aksi terbaik dipamerkan pemain negara di All England esok

WALAUPUN ketiadaan pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei dalam Kejohanan All England esok, namun Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria tetap menaruh harapan situasi itu tidak menghalang skuad negara untuk mencatat keputusan cemerlang di Birmingham.

Chong Wei masih lagi dalam penggantungan sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sehingga perbicaraannya dilangsungkan bulan depan. 

Menurut Norza, elemen kejutan mampu dijelmakan pemain khususnya beregu lelaki negara (Tan Wee Kiong-Goh V Shem) walaupun saingan yang bakal dihadapi nanti bukan satu yang mudah.

"Kalau bercakap secara realistik, peluang negara kali ini memang sukar selepas ketiadaan Chong Wei.

"Tapi walau bagaimanapun, saya harap mereka akan memberi kecemerlangan buat negara hingga tamat saingan.

"Saya juga sudah cakap kepada mereka supaya membawa cabaran All England dengan bersungguh-sungguh. Kita tidak mahu kehadiran wakil Malaysia seperti tidak dirasai sebab biasanya yang bawa kecemerlangan adalah Chong Wei," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Norza, dia sentiasa menaruh kepercayaan kepada barisan pemain negara untuk menggalas cabaran di kejohanan tertua dunia itu.

"Saya yakin mereka mampu menggalas cabaran. Walaupun ramai pemain negara terpaksa mengharungi pusingan kelayakan sebelum mendapat tempat ke undian utama, tapi saya tahu mereka mampu mencatat keputusan baik.

"Oleh itu, pemain yang bakal menggalas cabaran itu nanti lakukan yang terbaik, begitu juga bukan pemain BAM, Mohd Arif Latif dan Zulfadli Zulkifli.

"Tidak kira siapa pun mereka, maruah Malaysia harus diletak di tahap paling penting," katanya.

Cabaran Malaysia pada All England kali ini turut digalas dua beregu wanita yang semakin meningkat, Woon Khe Wei-Vivian Hoo dan juara Terbuka India, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho. Pasangan Crysvia Lim-Payee Lim pula beraksi dalam saingan kelayakan.

Malaysia turut memiliki wakil dalam beregu campuran, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing yang beraksi dari pusingan kelayakan.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment