Monday, 2 March 2015

MAS anjur majlis khas tertutup MH370 Ahad ini

MAS akan mengadakan majlis sembahyang khas khusus untuk memperingati ulang tahun pertama pemergian anak kapal pesawat MH370, Ahad ini.

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) akan mengadakan majlis sembahyang khas khusus untuk memperingati ulang tahun pertama pemergian anak kapal pesawat MH370, Ahad ini.

Majlis khas secara tertutup itu akan hanya dihadiri oleh keluarga dan majikan anak kapal yang telah diisytiharkan meninggal dunia dalam nahas 8 Mac tahun lepas.

"Kesedihan dan kehilangan merupakan soal peribadi. Setiap keluarga terbabit akan memperingati pemergian insan tersayang dengan cara tersendiri, jauh daripada perhatian media," kata jurucakap MAS kepada Bernama di sini hari ini.

"Kita akan menghimpun keluarga MAS untuk mengenang ahli keluarga yang menaiki psawat MH370," kata jurucakap wanita itu ketika diminta rancangan syarikat penerbangan itu bagi memperingati ulang tahun pertama kehilangan pesawat itu.

Pada 29 Jan lepas, kerajaan secara rasmi mengisytiharkan tragedi pesawat MH370 sebagai kemalangan dan semua 227 penumpang dan 12 anak kapal dianggap telah terkorban.

Bagaimanapun, kerajaan menegaskan usaha pencarian pesawat malang jenis Boeing 777-200 ER itu masih menjadi keutamaan dengan bantuan dan kerjasama kerajaan China dan Australia.

Pesawat tersebut dari Kuala Lumpur ke Beijing itu hilang daripada imbasan radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, pada pukul 12.41 tengah malam, Sabtu, 8 Mac, tahun lepas. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment