Baju kesukaan Tok Guru yang dipakai Tuan Sabariah semalam akan menjadi kenangan untuk selama-lamanya.
PERMERGIAN insan tersayang yang berkongsi hidup selama 53 tahun sudah pasti memberi kesan hebat kepada diri seseorang, apatah lagi insan itu seorang suami penyayang yang lebih dikenali sebagai Tok Guru, juga menjadi pemimpin disayangi ramai, di dalam dan luar negara.
Ikuti luahan hati DATIN TUAN SABARIAH TUAN ISHAK, isteri bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam wawancara eksklusif bersama wartawan Sinar Harian, ROSMIZA KASIM dan SITI FATIHAH AWANG di kediaman beliau sehari selepas pemergian suami yang dicintai itu.“Nanti abang tak dok (meninggal dunia) lepas ni, sapo nak jago Yah,” itulah kata-kata yang membuatkan hati saya sedih dan sayu apabila mengenangkan suami yang baru sehari meninggalkan saya buat selama-lamanya.
Kata-kata abang itu yang diluahkan tiga hari sebelum meninggal dunia, ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) itu saya sambut dengan senyuman, sambil memegang tangan insan yang selama ini berkongsi hidup suka dan duka dengan saya.
Sambil menggenggam tangan abang, saya kata “anak-anak kita kan ada, mereka boleh jaga saya sampai bila-bila. Abang janganlah risau,” walaupun dalam hati saya ketika itu sebak tidak terkata.
(Perasaan yang ditanggung itu diluahkan Tuan Sabariah sambil menyapu air mata dengan tisu yang dihulurkan saudara-mara yang datang menziarahi keluarganya di kediamannya).
Kini, anak-anaklah yang akan menjadi peneman saya, menghilangkan kesunyian hidup saya. Walaupun baru sehari, saya mengakui saya sangat merindui beliau.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment