Wan Azizah berkata barisan peguam Anwar sedang meneliti perkara tersebut dengan teliti termasuk implikasi-implikasinya sebelum membuat sebarang keputusan.
PERMATANG PAUH: Barisan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mengkaji pilihan mengemukakan permohonan pengampunan Diraja bagi membebaskan Ketua Pembangkang itu daripada hukuman penjara lima tahun.
Sambil menegaskan suaminya tidak bersalah, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, langkah memohon pengampunan itu boleh menimbulkan tanggapan serong seperti Anwar sememangnya bersalah di atas dakwaan tersebut.
Justeru, beliau berkata barisan peguam Anwar sedang meneliti perkara tersebut termasuk implikasinya sebelum membuat sebarang keputusan.
“Itu adalah salah satu daripada pilihannya... tetapi kita hendak kaji lagi sebab pengampunan ini walaupun ada satu klausa mengatakan, kerana dia tidak bersalah tetapi konotasinya memberi satu gambaran bahawa dia mengaku bersalah.
“Ini adalah sesuatu yang kita bincang dan barisan peguam kita akan mengambilnya dengan mendalam,” kata Wan Azizah.
Dalam pada itu, Wan Azizah menafikan desas-desus bahawa anak keduanya, Nurul Nuha Anwar, bakal tampil sebagai calon PKR dalam pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh yang bakal berlangsung berikutan hukuman penjara ke atas Anwar.
Beliau sebaliknya mendakwa Nurul Nuha hanya berkempen untuk pembebasan bapanya dan menafikan ia adalah langkah pertama Nurul Nuha untuk menceburi politik dalam pilihan raya kecil itu nanti.
Wan Azizah menegaskan suaminya masih lagi ahli parlimen Permatang Pauh dan PKR masih belum berbincang mengenai persedian mengenai pilihanraya kecil Permatang Pauh sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan kerusi itu kosong.
“Belum lagi kita bincangkan sebab ahli parlimennya masih lagi Anwar sampai SPR putuskan dia telah dilucutkan statusnya sebagai ahli parlimen, lepas tu barulah kita timbulkan perkara ini,” jelasnya.
Wan Azizah berkata, ketika ini Nurul Nuha hanya mengetuai kempen kemanusiaan tersebut dan soal dia bakal menjadi calon parlimen Permatang Pauh tidak timbul
Memandangkan mereka sekeluarga kini lebih menumpukan soal pembebasan Anwar.
Tambahnya, kempen pembebasan Anwar dianjurkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang membantah keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar Ibrahim.
Nurul Nuha, 31, seorang suri rumah berkelulusan Ijazah Teknologi Seni dan Visual dari Universiti George Mason, Amerika Syarikat diberikan ‘tugasan awal’ dalam kempen terbaru perjuangan Anwar yang didakwa menjadi mangsa ketidakadilan.
Beberapa pemerhati politik melihat Nurul Nuha, mula diketengahkan bagi meneruskan legasi keluarga itu di Permatang Pauh.
Wan Azizah berkata demikian kepada media selepas menghadiri mesyuarat Cabang Permatang Pauh di Yayasan Aman, Penanti pada Sabtu.
Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kesalahan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, hampir tujuh tahun lalu.
Keputusan dicapai secara sebulat suara oleh panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.
- Sumber: Astro Awani
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment