Thursday, 12 February 2015

Kelar isteri polis, empat remaja ditahan

Suspek disyaki menerkam mangsa (gambar) lalu mengelar bahagian lehernya menggunakan pisau yang dipercayai diperoleh dari rumah mangsa sendiri.

IPOH: Pihak polis menahan empat remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat Izaah Abdullah, 52, isteri seorang anggota polis di Taman Tanjung Emas, Tanjung Rambutan yang dipercayai mati dikelar pada awal pagi ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Usman Salleh berkata kesemua remaja yang berusia 16 hingga 19 tahun itu telah ditahan di kawasan berhampiran dalam tempoh dua jam selepas laporan diterima.

Jelasnya, berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai telah memasuki rumah mangsa melalui pintu belakang setelah memecahkan kunci dengan menggunakan sebatang kayu.

Suspek kemudian disyaki menerkam mangsa lalu mengelar bahagian lehernya menggunakan sebilah pisau yang dipercayai diperolehi dari rumah mangsa sendiri.

Menurutnya, berdasarkan post mortemoleh pihak hospital, menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat pendarahan yang banyak.

Usman Salleh berkata, kesemua suspek akan direman bermula esok (Khamis) dan kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita percaya mereka mungkin terlibat secara terus dalam kejadian. Dari segi motif kita tidak dapat lagi tahu motif sebenar hanya beberapa barangan mangsa dijumpai pada seorang suspek. Kita percaya ia kepunyaan mangsa,” kata Usman.

Beliau berkata suami mangsa, Sarjan Salehuddin Hassan yang bertugas di Bukit Aman bergegas balik ke rumah sejurus mendapat panggilan.

Sementara itu, jenazah mangsa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Rambutan , Ulu Kinta pada petang tadi. 

- Sumber: Astro Awani | Februari 11, 2015

No comments:

Post a Comment