Tindakan Chen merantai kakinya di katil menyebabkan pentadbiran hospital memfailkan saman di mahkamah. - Gambar hiasan
SEORANG pesakit diangkat keluar secara paksa dari sebuah hospital di Beijing dengan bantuan polis selepas dia merantai dirinya pada katil hospital sejak hampir tiga tahun lepas kerana mahu terus tinggal di hospital itu, lapor Beijing Times.
Lelaki yang dikenali dengan nama Chen itu dimasukkan ke Hospital Umum Kumpulan Jingmei Beijing pada Ogos 2011 setelah cedera akibat nahas jalan raya. Dia menjalani rawatan selama tiga bulan dan selepas itu dibenarkan pulang oleh pihak hospital.
Dia bagaimanapun enggan dan mendakwa kakinya masih sakit tidak dapat ditegakkan dan mahu hospital terus merawatnya.
Sejak itu, Chen merantai dirinya pada katil. Chen mendakwa dia memerlukan rawatan lanjut dan sedia menjalani ujian kesihatan. Pihak hospital bagaimanapun mendakwa masalah pada kakinya itu ialah kerana kurang digerakkan setelah dia lama berbaring di katil.
Kedegilan Chen memaksa pentadbiran hospital memfailkan saman di mahkamah. Dalam keputusannya yang dibacakan di hadapan Chen yang berbaring di katil hospital, mahkamah memerintah lelaki itu supaya meninggalkan hospital serta-merta.
Chen terhutang sebanyak 20,000 yuan (lebih kurang RM11,600) namun pihak hospital enggan membuat sebarang tuntutan kerana cukuplah dengan lelaki itu tidak lagi duduk di wad.
- Sumber: Agensi
No comments:
Post a Comment