Thursday, 29 January 2015

Xenon, model baharu dari Tata

Pikap trak Xenon ditawarkan dengan enam varian.

Xenon dijana enjin 2.2 liter diesel pengecas turbo.

SYARIKAT Automotif India, Tata Motors Limited dan pihak DRB Hicom sudah lama menjalin kerjasama sejak 1993 sehinggalah 2008. Tahun ini menyaksikan kemunculan semula jenama berkenaan dalam landskap automotif Malaysia menerusi pelancaran pikap trak Xenon dan jentera berat Prima prime.

DRB-HICOM Commercial Vehicles (DHCV) Sdn Bhd telah dilantik sebagai pengedar eksklusif kenderaan perdagangan Tata di Malaysia. Syarikat subsidiari DRB-HICOM itu ditugaskan untuk melaksanakan komitmen syarikat induk untuk memulihkan jenama India dalam pasaran Malaysia.

Sebagai permulaan, syarikat itu akan menjual dua model seperti dinyatakan. Kedua-dua produk akan menerajui penembusan jenama pikap dan segmen kenderaan komersil.

Bagi model pikap Xenon, boleh didapati dalam enam varian yang ditawarkan mengikut keperluan berbeza.

Dikuasakan enjin 2.2 liter diesel commonrail pengecas turbo, ia mampu menghasilkan kuasa 140PS pada 4000rpm dan tork 320Nm pada 1700 sehingga 2700rpm.

Didatangkan dengan tiga pilihan warna putih, hitam dan kelabu, anggaran harga bagi model tersebut bermula RM60k sehingga RM80k. Buat masa ini pihak pengedar DRB-Hicom masih belum memutuskan harga sebenar pikap trak berkenaan.

Namun begitu jika harga jualan seperti dinyatakan adalah agak berpatutan dengan material yang ditawarkan oleh produk tersebut.

Sementara itu, model Prima tersedia dengan konfigurasi 4×2 dan 6×4. Prima adalah satu generasi baharu bagi Kenderaan Komersial Sederhana dan Berat dari Tata Motors yang direka dan dibangunkan sebagai Trak Global.

Menetapkan tanda aras baharu dalam gaya dan ciri-cirinya, generasi baharu Tata Prima ini adalah gabungan kuasa dan prestasi bertaraf dunia, kecekapan bahan api, keunggulan teknologi dan keselamatan yang tinggi.

Selain itu, Tata Prima turut dibina menggunakan input teknikal dari seluruh dunia–menerapkan reka bentuk kabin Itali, teknologi enjin dari Amerika Syarikat dan Eropah, kepakaran kotak gear dari Jerman dan kerangka casis dari Mexico,

Bagi menyokong usaha itu, pelaburan baru kira-kira RM10 juta akan disuntik untuk meningkatkan operasi DHCV dan aktiviti berkaitan jualan. Pihak DHCV juga dalam perancangan untuk melakukan operasi pemasangan tempatan (CKD) bagi model terpilih Tata.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil proses CKD akan dilakukan di HICOM Automotive Manufacturing (Malaysia) di Pekan, Pahang. Kompleks pengeluaran automotif terbesar DRB-HICOM itu turut menghasilkan kenderaan Mercedes-Benz, Volkswagen, Suzuki dan Isuzu.

Beliau juga turut menekankan bahawa kepercayaan Tata Motors terhadap komitmen DRB-HICOM bukan hanya memperkenalkan semula kenderaan Tata sebagai kegunaan komersial di pasaran tempatan tetapi juga keupayaan DRB-HICOM meningkatkan pertumbuhan penjenamaan Tata di pasaran Malaysia.

“Kami amat teruja dengan perkongsian strategik dan dinamik yang bertepatan dengan usaha untuk memenuhi permintaan pasaran. Kerjasama ini akan membolehkan DRB-HICOM untuk membina dan menghasilkan kenderaan yang berkualiti tinggi melalui program CKD yang turut memberi manfaat bersama serta menawarkan pelbagai sinergi bukan sahaja untuk semua pihak yang terlibat dalam usaha ini tetapi juga untuk pasaran automotif tempatan,” katanya.

Di samping itu, pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) dibuka di Selayang untuk memudahkan sokongan selepas jualan pemilik kenderaan Tata. Kemudahan itu menyediakan 12 ruang servis bagi memudahkan urusan penyelenggaraan.

- Sumber: Stailo @Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment