Thursday, 29 January 2015

Budak maut jatuh akibat pagar reput

Diyana menunjukkan batang besi pengadang patah yang dipercayai punca adiknya jatuh.

PETALING JAYA - “Kuyit nak ikut kakak pergi sekolah,” kata kakak sulung Muhammad Hazriq Danish Ain Alden, 5, yang maut selepas terjatuh dari tingkat 6, flat Projek Perumahan Rakyat (PPR), Kota Damansara, petang semalam.

Menurut Nur Diyana Alden, 15, Hazriq merupakan adik bongsu daripada lima beradik, mesra dipanggil Kuyit, menunjukkan sikap yang amat berlainan sebelum dia ke sekolah pagi semalam.

“Kuyit berjalan ke bawah bersama ibu dan saya, kemudian salam serta cium tangan saya sebelum ke sekolah,” katanya.

Menurutnya, awal pagi lagi dia sudah bangun dan bertanyakan kakak hendak pergi mana.

Diyana berkata, adiknya itu amat manja dengannya dan ahli keluarga yang lain.

“Biasanya kalau dilarang jangan bermain di luar, Kuyit tidak mendengar kata.

“Tetapi sejak akhir-akhir ini, saya perasan tingkah lakunya berubah dan akan ikut apa yang disuruh,” katanya dengan nada sayu.

Menurut Diyana, sewaktu kejadian, dia baru pulang dari sekolah dan dimaklumkan insiden yang menimpa adiknya oleh jiran-jirannya.

“Kuyit memang suka bermain dengan rakan-rakannya di balkoni, walaupun ibu dan saya sudah tegah dia berkali-kali," katanya.

Sementara itu, ibunya, Norsahura Sahara Mohamad, 34, berkata, dia sempat makan bersama Hazriq lauk kegemarannya, ayam goreng, sebelum keluar bermain dengan rakan-rakannya.

“Saya sempat makan bersila dengannya, selepas itu dia minum sedikit air dan keluar bermain,” katanya.

Sahura, seorang suri rumah berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumah sebelum bergegas turun apabila dimaklumkan anaknya terjatuh.

Difahamkan, polis sedang menyiasat sama ada kejadian itu ada kaitan dengan pengadang besi balkoni yang uzur.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Kota Damansara selepas solat Maghrib dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, kejadian berlaku pada jam 3.18 petang.

“Mangsa sedang bermain di koridor sebelum terjatuh dari tingkat enam flat itu.

“Mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Sangka bungkusan sampah jatuh

"Saya ingatkan bunyi sampah jatuh, tetapi terkejut apabila pekerja penyelenggaraan bagi tahu budak terjatuh,” kata Zarina Johan, seorang pengawal keselamatan di Blok B, bangunan itu.

Menurutnya, dia hanya berada beberapa meter dari lokasi kejadian dan bergegas melihat kanak-kanak itu.

“Saya lihat kanak-kanak itu masih lagi bernyawa dan saya cuba mengecamnya.

“Secara kebetulan ada jiran turun dari lif memaklumkan siapa ibu bapa kanak-kanak itu. Saya terus menjerit memanggil ibunya dari bawah,” katanya.

Zarina berkata, sejurus turun, ibu kanak-kanak itu tersembam di sisi anaknya.

“Melihatkan keadaannya itu, saya papah dan cuba tenangkannya. Dia terus menangis sementara menunggu ambulan tiba,” katanya.

Zarina yang sudah lapan tahun tinggal di situ dan menjadi pengawal keselamatan dua bulan lalu berkata, kejadian ini bukan pertama kali berlaku di kawasan itu.

“Sebelum ini ada kejadian kanak-kanak terjatuh, tetapi di blok lain,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment