Ibu penumpang MH370 meraung melihat gambar anaknya Jee Jing Hang (gambar) di televisyen - Gambar fail
JITRA: Ibu kepada seorang penumpang penerbangan MH370, Tam Giat Hua meraung sebaik sahaja melihat gambar anaknya, Jee Jing Hang muncul di kaca televisyen ketika penayangan gambar imbas kembali kesemua kru dan penumpang pesawat MH370.
Kata Giat Hua, dia begitu sebak dan tidak dapat menahan kesedihan serta air mata lebih-lebih lagi menjelang perayaan Tahun Baru Cina pertengahan Februari depan.
Tinjauan Astro AWANI di rumah Giat Huat disambut mesra walaupun jelas diselubungi duka.
Gee Huat juga dilihat menangis sepanjang pengumuman yang dibuat Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada petang Khamis.
Menurut sepupu Jing Hang yang mahu dikenali sebagai Jane, Giat Hua merasa seakan-akan resah serta berdebar-debar dengan pengumuman yang dibuat DCA.
Kata Jane, Giat Hua juga dikatakan masih tidak dapat menerima hakikat bahawa anaknya antara 239 penumpang termasuk kru pesawat MH370 yang masih hilang walaupun hampir setahun insiden tersebut berlaku.
Kerana insiden memilukan itu, keluarga tersebut juga tidak membuat sebarang persiapan untuk menyambut ketibaan Tahun Baru Cina kerana masih bersedih dengan kehilangan salah seorang ahli keluarga mereka.
Tambah Jane, jika disambut sekalipun, ia hanya dibuat secara sederhana kerana sebelum ini segala persiapan memang dilakukan Jing Hang.
"Jing Hang yang buat semuanya, ia termasuk membeli kuih muih dan biskut untuk dihidangkan kepada tetamu pada tahun baru.
"Ibunya baru tahu mengenai pengumuman itu beberapa jam sebelum ia diadakan. Dia menyimpan seribu harapan agar anaknya ditemui dan pastinya tidak dapat menerima kenyataan yang diumum DCA tadi. Dia masih berharap kepada keajaiban," katanya.
Mereka turut dilihat masih berada di hadapan kaca televisyen untuk menanti sebarang perkembangan terkini yang mungkin diumum di dalam slot berita yang selanjutnya.
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini dengan rasminya mengisytiharkan bahawa kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 merupakan satu kemalangan dan kesemua 239 penumpangnya dianggap terkorban.
Pesawat jenis Boeing 777-200ER itu hilang 40 minit setelah berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac tahun lalu. Ia membawa 239 penumpang dan anak kapal, termasuk 50 orang rakyat Malaysia.
- Source: Astro Awani
No comments:
Post a Comment