Zizan Razak dalam salah satu babak dalam Cicakman 3 - Foto KRU Studio
KUALA LUMPUR: Adiwira Metrofulus, Cicakman kembali menemui penonton dengan sekuel terbaru Cicakman 3 pada 12 Mac ini.
Seperti yang diketahui umum, dua filem Cicakman sebelum ini diterajui oleh pelakon dan pelawak Saiful Apek, namun kali ini ia dilakonkan oleh pelakon, pengacara, penyanyi dan pelawak Zizan Razak.
Kata Zizan, dirinya tidak mahu dibayangi lakonan Saiful dan jalan cerita sendiri sudah menunjukkan kelainan kepada wataknya sebagai adiwira Cicakmansekuel yang ketiga ini.
“Saiful Apek dengan caranya tersendiri. Saya sendiri takut jika disamakan namun setelah diterangkan oleh pengarah, saya tahu watak yang saya jayakan ini lain dari watak Saiful dalam Cicakman sebelum ini.
"Jalan cerita juga dari sisi berbeza. Dalam Cicakman 3, Saiful telah bersara menjadi adiwira dan saya mewarisi perjuangannya. Dalam masa yang sama, watak saya sebagai Man adalah selain adiwira adalah sebagai suami dan juga bapa. Jadi di situ ada kematangan pada watak Cicakman kali ini, ” jelas Zizan yang ditemui di majlis pelancaran trailer filem Cicakman 3 di Pavilion, Kuala Lumpur pada Rabu.
Filem Cicakman 3 yang digarap oleh dua pengarah Yusry Abdul Halim dan Ghaz Abu Bakar ini turut berkolaborasi dengan studio-studio gergasi tanah air iaitu KRU Studios, Grand Brilliance dan Astro Shaw.
Selain Zizan, Cicakman 3 turut dibarisi oleh Lisa Surihani dan Fizz Fairuz.
Bagi Lisa yang pertama kali berlakon di bawah arahan suaminya, Yusry, pengalaman tersebut amat menyeronokkan.
“Kami sangat profesional dan saya seronok berlakon di bawah arahan suami sendiri. Tiada masalah” kata Lisa di dalam majlis yang sama.
Lisa sebagai Linda dalam Cicakman 3 - Foto KRU Studio
Manakala Yusry yang turut berada di sebelah Lisa ketika wawancara tersebut berkata Lisa sangat komited untuk wataknya dan tidak mengambil kesempatan walaupun berstatus isteri pengarah.
“Lisa banyak bertanya tentang wataknya sebagai Linda dalam filem Cicakman 3 ini. Dia banyak buat kajian mengenai wataknya dan kiranya tidak sambil lewa walaupun dia adalah isteri saya,” jelas Yusry.
Kata Yusry, walaupun filem ini diarah oleh dua pengarah, ia tidak sedikit pun menganggu perjalanan pengambaran Cicakman 3. .
“Saya sudah banyak kali bekerja dengan Ghaz, jadi saya sudah tahu cara kerjanya. Jadi tak timbul perselisihan faham. Apa yang pasti, segala yang dilakukan adalah bagi memberikan yang terbaik buat filem ini,” kata Yusry.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment